Hubungan Masih Kukuh Walaupun ADUN Amanah Lompat Masuk PKR – MB Selangor

- Advertisement -

SHAH ALAM – Isu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Amanah Negara (Amanah) yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) boleh diselesaikan, kata Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Selangor itu, hubungan politik antara Amanah dan PKR di negeri tersebut kekal kukuh walaupun terpalit dengan isu lompat parti.

“Saya rasa isu ini boleh diselesaikan jika ada kesefahaman antara pemimpin parti dan keputusan tidak boleh setakat peringkat negeri sahaja, ia kena pergi kepada pusat.

“Bagi pihak negeri, komunikasi antara kami masih lagi kukuh dan koalisi kami juga kukuh di negeri Selangor. Kami cuba untuk pertahankan sebaik mungkin,” katanya pada sidang media di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.

Jelas Amirudin, dalam hubungan koalisi, isu berkenaan merupakan perkara biasa malah pernah berlaku beberapa kali sebelum ini.

Katanya, PH Selangor sebaik mungkin cuba mempertahankan hubungan antara parti komponen dengan mengambil kira kerangka kerja secara menyeluruh.

“Selangor antara yang terkesan tetapi saya percaya semangat yang ada di dalam PH dan sebelum itu Pakatan Rakyat, semangat untuk berunding dan berbincang dalam situasi yang berbeza-beza.

“Kita ada pengalaman yang lama iaitu pada tahun 2008 di mana dua tiga kali Pakatan Rakyat hampir-hampir putus tetapi kerana kemampuan kita melakukan keputusan di pelbagai peringkat sama ada negeri atau pusat itu yang menjadi kekuatan.

“Kejujuran dalam perbincangan dan kepercayaan itu akhirnya membuahkan hasil,” ujarnya.

Sebelum ini, lima ADUN Amanah termasuk tiga dari Johor bertindak keluar parti dan berhasrat untuk menyertai PKR.

Mereka ialah ADUN Senggarang, Khairuddin A Rahim; ADUN Serom, Faizul Amri Adnan dan ADUN Mahkota, Muhamad Said Jonit.

Selain tiga ADUN dari Johor, turut didakwa bertindak keluar parti adalah dua ADUN dari Selangor. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat