KUALA LUMPUR – Tiga bekas Adun Perlis yang mengemukakan hasrat untuk kembali menyertai Pas akan melalui proses kemasukan sebagai ahli baharu.
Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu, sebarang permohonan akan diproses mengikut prosedur biasa yang ditetapkan parti, sama seperti permohonan keahlian lain.
Takiyuddin berkata, setakat ini beliau hanya dimaklumkan mengenai perkara berkenaan, namun pejabatnya masih belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada individu terbabit.
“Saya dimaklumkan bahawa ketiga-tiga mereka sudah mengemukakan permohonan baharu untuk menyertai Pas, tetapi setakat ini tiada permohonan rasmi diterima oleh pejabat saya.
“Maklumat itu hanya disampaikan kepada saya melalui sekretariat Majlis Syura semalam,” katanya di Kota Bharu lapor Sinar Harian.
Sebelum ini, akhbar melaporkan Majlis Syura Pas akan menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan pusat bagi memutuskan rayuan yang dikemukakan oleh tiga bekas Adun Perlis berkenaan, yang dipecat susulan krisis politik negeri itu bulan lalu.
Tiga bekas Adun terbabit ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata setiap permohonan akan melalui proses saringan biasa sebelum dibawa ke Jawatankuasa Pas Pusat untuk pertimbangan dan keputusan muktamad.
“Keputusan sama ada permohonan itu diluluskan atau tidak akan ditentukan oleh kepimpinan pusat parti,” katanya.
Untuk rekod, Pas menamatkan keahlian ketiga-tiga Adun terbabit selepas mereka bersama lima Adun daripada Bersatu menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Perlis yang baharu iaitu Adun Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah menggantikan Adun Sanglang, Shukri Ramli daripada Pas.



