KUALA LUMPUR- Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan bagi memastikan hak kedaulatan serta kepentingan negara terpelihara, walaupun hanya seketul batu karang di tengah lautan.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, kerajaan juga perlu bijak dalam mengekalkan hubungan diplomatik dengan semua pihak dan meningkatkan kerjasama strategik dalam menangani isu serantau serta sempadan negara.
“Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia perlu menunjukkan keupayaan dalam memimpin dan menentukan hala tuju ASEAN.
“Malaysia juga perlu kekal tegas mendukung prinsip keamanan, menentang keganasan dan penindasan.
“Peperangan di Gaza perlu segera ditamatkan dan keadilan undang-undang hendaklah dilaksanakan,” titah baginda ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Perkembangan lain, Yang di-Pertuan Agong mahu pengagihan subsidi bersasar dilaksanakan dengan cekap dan berkesan kepada kumpulan rakyat yang benar-benar layak saja.
Baginda yang menyambut baik pendekatan subsidi bersasar itu, bertitah pelaksanaan kaedah itu berupaya mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan rasa syukur melihat perkembangan ekonomi negara, termasuk prestasi ekonomi domestik dan pelaburan negara yang semakin bertambah baik.
“Nilai ringgit kembali kukuh dan kadar pengangguran kekal rendah. Pada tahun lalu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencapai 5.9 peratus dalam pelbagai sektor dan jumlah perdagangan negara melepasi angka RM2 trilion untuk tempoh sembilan bulan pertama.
“Saya mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan kerajaan atas prestasi ekonomi negara yang membanggakan ini serta berharap ia terus dipertingkatkan.
“Namun, kerajaan hendaklah menentukan supaya prestasi baik ini membawa nikmat kemakmuran kepada seluruh rakyat dan bukan hanya memberi keuntungan kepada kumpulan tertentu saja,” titah baginda.