KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh mengingatkan pemimpin bukan Islam agar tidak sewenang-wenangnya memperlekeh agama Islam dan bangsa Melayu.
Beliau malah menegaskan akan lawan habis-habisan sekiranya kesucian agama Islam dan sensitiviti bangsa Melayu dicabar.
“Kami pertahankan agama dan bangsa kami bukan sebab nak orang suka kami,tetapi atas sebab tanggungjawab kami untuk menjaga kesucian agama dan bangsa kami.
“Kamu sentuh dan perlekehkannya,kami akan lawan kamu habis-habisan tidak kira kamu dari parti apa,” tegas beliau.
Exco Melaka itu berkata demikian sebagai reaksi kepada Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng membidas beliau kononnya yang telah mengancam untuk menyaman seorang pemimpin parti Johor kerana merujuknya dengan nama julukan yang menghina.
Teik Cheng berkata Akmal harus merenung kenapa orang bukan Melayu berpandangan negatif terhadapnya.
“Kata-kata dan tindakan Akmal telah berulang kali mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.
“Ini bukan sekadar pendapat peribadi (Timbalan Ketua Publisiti MCA Johor) Law Yiak Kwang atau mana-mana ahli MCA – ia mencerminkan persepsi yang lebih luas orang bukan Melayu terhadapnya.
“Sikap Akmal bukan sahaja merosakkan hubungan antara parti komponen BN tetapi juga menjejaskan usaha BN untuk mendapatkan sokongan daripada masyarakat bukan Melayu,” kata Teik Cheng.
Sementara itu Akmal juga mengingatkan Teik Cheng berkait kerusi yang dimenangi.
“Cuba renung juga dua kerusi yang kamu menang tu di kawasan apa. Takut-takut kamu terlupa dan saya ingatkan.
“Jangan lupa juga nanti temankan kawan kamu Law Yiak Kwang di mahkamah ya,” selar Akmal.
Ketua Pemuda Umno itu sebelum ini menyorot mengenai hantaran Facebook oleh Law Yiak Kwang yang menggunakan perkataan “癫马” diterjemahkan sebagai “Melayu gila”.
Akmal berkata ini sama ada serangan ke atas dirinya, atau penghinaan terhadap orang Melayu secara keseluruhan.
Law, bagaimanapun, menjelaskan bahawa “癫马” adalah frasa biasa di media sosial yang bermaksud: “Akmal yang sentiasa bertindak tidak rasional”.
Aksara Cina “马” – disebut mā – yang bermaksud “kuda”.
Bagaimanapun, huruf itu juga boleh digunakan secara fonetik untuk mewakili bunyi ‘ma’ apabila mengalih huruf daripada bahasa lain, termasuk perkataan Cina untuk Malaysia, Melayu, Mahathir, dan Akmal.