KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memberi tiga amaran namun tidak dipedulikan bot pekerja migran Indonesia di perairan berhampiran Pulau Carey minggu lalu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata anggota Maritim Malaysia yang bertugas menaiki bot kelas Penggalang Tiga ketika itu menggunakan pembesar suara untuk memberi amaran kepada bot migran Indonesia untuk berhenti, namun tidak dihiraukan.
Ketika pihak berkuasa Malaysia mengejar, bot migran cuba merempuh bot Maritim Malaysia sehingga anggota bertugas terpaksa melepaskan tembakan ke udara sebagai isyarat supaya bot migran berhenti.
Sebagai langkah terakhir, katanya barulah tembakan dilepaskan ke arah bahagian enjin kapal berkenaan.
“Ketika pihak berkuasa Malaysia mengejar, bot migran cuba merempuh bot Maritim Malaysia sehingga anggota bertugas terpaksa melepaskan tembakan ke udara sebagai isyarat supaya bot migran berhenti.
“Sebagai langkah terakhir, katanya barulah tembakan dilepaskan ke arah bahagian enjin kapal berkenaan.
“Tindakan pertama memberi amaran itu adalah tindakan sangat penting. Ternyata bot (dinaiki migran Indonesia) tidak menghiraukan amaran lalu terus bergerak dan memecut laju.
“Maksudnya bot itu harus dikejar. Ketika itu juga, berlaku percubaan bot (migran) melanggar bot Maritim Malaysia. Percubaan langgar itu secara jelas menyasarkan pada bahagian bot Maritim iaitu bot petrol.
“Jika bot enjin petrol dirempuh boleh mengakibatkan letupan. Kerana perbuatan melanggar itulah, maka tembakan amaran dilepaskan ke udara.
“Di sebalik tembakan amaran ke udara itu, bot itu tidak terhenti, malah terus memecut dan berjaya meloloskan diri daripada dikejar. Kemudian bot Maritim Malaysia balik semua ke jeti,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Isnin.
Dalam insiden yang berlaku pada 24 Januari lalu jam 2.58 pagi, Pusat Kawalan Maritim Malaysia di Klang mengesan kontak curiga yang merujuk bot dinaiki migran Indonesia cuba memasuki perairan negara di perairan Pulau Carey.
Pusat Operasi Maritim Selangor kemudian mengarahkan bot Penggalang Tiga untuk segera membuat pintasan terhadap kontak curiga berkenaan.
Pada jam 9 pagi keesokannya, Saifuddin Nasution berkata pihaknya menerima satu laporan mengenai bot tersadai di darat dan menemui dua lelaki.
“Seorang cedera manakala seorang lagi pada waktu itu tidak bergerak. Setelah pasukan perubatan datang dan dibuat pemeriksaan disahkan meninggal dunia.
“Pada hari sama juga, satu lagi aduan memaklumkan bahawa ada tiga lagi lelaki yang cedera akibat kesan tembakan dihantar ke Hospital Serdang termasuk yang meninggal dunia. Seorang lagi yang cedera dimasukkan ke Hospital Klang.
“Ada satu lagi yang sebenarnya cedera juga dihantar ke hospital tapi memilih untuk tidak masuk hospital. Namun kita tahu identitinya,” katanya.