Bekas Penyelia FELDA Kena Penjara 6 Bulan, Denda RM8,000 Kes Palsu Tandatangan Peneroka

- Advertisement -

KUANTAN – Seorang bekas penyelia FELDA dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM8,000 di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini.

Tertuduh, Muhammad Aizat Zaidi, 34, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas tuduhan pindaan menggunakan wang peneroka berjumlah RM150,793 bagi tujuan pelaburan Forex.

Mengikut pertuduhan pindaan itu, tertuduh sebagai penyelia FELDA Sebertak, Bera, memalsukan sebahagian tandatangan peneroka pada senarai akuan penerimaan bayaran tunai (paysheet) serta senarai akuan penerimaan bayaran tunai pendahuluan tunai (pt).

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh antara November 2020 dan Disember 2020 manakala pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 464(a) Kanun keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen 465 kanun keseksaan.

Hakim, Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain menjatuhkan hukuman itu kepada Muhammad Aizat.

Peguambela tertuduh, Mazura Ismail dalam rayuannya meminta mahkamah mengenakan hukuman penjara paling minima tanpa denda.

Ini berikutan anak guamnya mengaku sudah insaf dengan perbuatannya malah membuat bayaran ganti sebanyak 50 peratus daripada nilai keseluruhan wang kepada peneroka terbabit selain berhasrat untuk membayar semua wang peneroka berkenaan.

Akibat kes berkenaan, Muhammad Aizat telah kehilangan pekerjaannya itu dan kini hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan sebanyak RM50 sehari serta perlu menanggung ibu dan bapanya yang sudah tua.

Selain itu, Mazura menyatakan anak guamnya juga telah bercerai dengan isteri disebabkan kes berkenaan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif dalam hujahnya berkata, tindakan tertuduh telah mencalarkan imej penjawat awam serta integriti FELDA.

“Walaupun tertuduh ada usaha untuk membayar balik wang peneroka berkenaan, namun mahkamah perlu mengambil kira kekerapan dan keseriusan kesalahan dilakukan selain ia membabitkan peneroka yang kebanyakkannya adalah warga emas serta wang berkenaan adalah pendapatan untuk sara hidup mereka,” katanya.

Ahmad Zamzani ketika membacakan keputusan mahkamah berkata, selepas mengambil kira hujah daripada pihak pendakwa raya dan mempertimbangkan rayuan tertuduh, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan serta denda sebanyak RM8,000 manakala wang jaminan dikembalikan.

“Tertuduh juga akan dikenakan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda ditetapkan mahkamah,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat