KUALA LUMPUR – Mengambil kira penularan varian Omicron, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi PRN Johor akan sedikit berbeza.
Khairy berkata pihaknya menjangkakan varian Covid-19 yang baru itu akan meningkatkan bilangan kes positif memandangkan kadar kebolehjangkitannya yang tinggi.
“SOP di (PRN) Melaka berjaya, tiada peningkatan (kes positif selepas pilihan raya). SOP di PRN Sarawak juga berjaya, tiada peningkatan.
“SOP di Johor (akan) lain sedikit sebab ia datang sekali dengan varian Omicron.
“Akan berlaku peningkatan kes (melibatkan) Omicron tetapi kita akan pantau tahap serius kes,” katanya dalam sidang media pada Khamis.
Bagaimanapun Khairy menggesa orang ramai agar tidak panik, dengan berkata peningkatan kes akibat varian tersebut tidak membawa kepada peningkatan kes serius yang memerlukan rawatan di hospital dan rawatan rapi.
“Sekarang ini apa yang penting bukan bilangan kes, tapi keseriusan kes tersebut.
“Kalau (jumlah kes serius) makin berkurang, tak perlukan kemasukan hospital, maka kita boleh teruskan perancangan untuk buka (semula) negara kita.
“Kementerian Kesihatan akan sentiasa pantau data paling penting iaitu kemasukan ke hospital dan kadar kematian. Ini yang jadi indikator penting,” katanya lagi.