KUALA LUMPUR – Mazlan Bujang memberitahu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin supaya tidak terlalu emosianal dengan tindakannya meninggalkan parti itu.

Bekas ADUN Puteri Wangsa sebaliknya menegaskan beliau cuma keluar parti bukannya keluar agama, malah katanya Muhyiddin juga pernah melakukan perkara sama lompat dari UMNO ke Bersatu.

Mazlan yang juga bekas Pengerusi Bersatu Johor berkata, tindakan keluar dari parti adalah satu perkara yang biasa dalam politik negara ini bukannya beliau keluar agama ia cuma parti politik.

“Janganlah emosional sangat, saya bukannya keluar agama, saya keluar parti dan ini perkara biasa dalam Malaysia. Yang awak ni ‘pancing’ orang UMNO berduyun-duyun dan masuk dalam Bersatu itu bermoral?

“Habis tu Abah Ketua Bahagian masuk Bersatu… dan adakah tindakan saya tidak bermoral?

“Kalau tindakan saya tidak bermoral… awak lagi tidak bermoral. Jadi sebelum kata-kata yang tidak manis itu berfikirlah banyak kali. Dah tua-tua berpolitik ni kena matang,” katanya memetik UMNO Online, di Tebrau pada Khamis.

Terdahulu Mazlan mendakwa tidak sehaluan dengan Presiden Bersatu dan tidak nampak parti ini ada masa depan yang cerah.

Tindakannya itu turut disertai bekas Adun Larkin Datuk Mohd Izhar Ahmad.