Teruskan solidariti kepada usaha Najib Razak – Nazif

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa terharu dan mengucapkan penghargaan kepada semua peserta himpunan solidariti demi menuntut keadilannya di Istana Kehakiman yang dijadual Isnin ini.

Menurut anaknya Datuk Nazif Najib, beliau telah memaklumkan kepada bapanya mengenai usaha ikhlas semua pihak yang bersama-sama berganding bahu menjayakan himpunan berkenaan.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Ketua Bahagian Umno, ahli-ahli, dan penyokong atas semangat dan komitmen yang luar biasa dalam menyokong Solidariti 4 Najib Razak pada 6 Januari 2025 di Istana Kehakiman, Putrajaya.

“Saya telah memaklumkan kepada Ayahanda (Najib) mengenai usaha ikhlas semua pihak, termasuk penyediaan bas, kereta, dan sokongan moral yang tidak berbelah bahagi.

“Beliau (Najib) amat terharu dan mengucapkan penghargaan yang mendalam kepada setiap seorang daripada anda.Kesungguhan ini mencerminkan keutuhan kita sebagai sebuah parti dan kesetiaan kita terhadap perjuangan. Insya-Allah, dengan doa dan usaha bersama, kita akan melihat kejayaan yang diredai,” ujar Nazif dalam catatan di Facebooknya pada Jumaat.

Dalam pada itu beliau menyeru agar, semangat ini diteruskan dan sahkan kehadiran sebaik mungkin bagi penyelarasan yang lebih lancar.

“Terima kasih sekali lagi atas komitmen anda semua. Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan kita.

“Hidup Umno, hidup rakyat! katanya.

Untuk rekod, Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari 2025 untuk pendengaran bagi rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum.

Menurut Jabatan Peguam Negara (AGC), penetapan tarikh itu adalah pendengaran bagi rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah adendum.

Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Najib memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.

Dalam permohonan yang difailkan April lalu, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari lalu.

Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.

Bekas Perdana Menteri itu juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat