KUALA LUMPUR – Sekiranya masih wujud kelompok pemimpin yang masih menanam pemikiran kononnya partinya sahaja yang betul manakala parti orang lain salah maka disarankan tidak perlulah menjadi pemimpin sebaliknya adalah lebih sesuai menjadi lembu atau lobak.
Demikian kritikan pedas Datuk Dr Akmal Saleh yang membidas akaun Facebook “Anwar Ibrahim PM Rakyat” yang mendakwa tindakan Ketua Pemuda Umno itu selama ini tidak menguntungkan Kerajaan Perpaduan sebaliknya memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN).
Susulan dakwaan itu, Dr Akmal yang juga Adun Merlimau menegaskan, pemimpin wajar membawa suara rakyat bukan suara tauke-tauke besar.
“Mana yang salah tetap salah tidak kira dari parti mana kita datang sama ada kerajaan mahupun pembangkang.
“Sebab itu kritikan saya bukan hanya pada parti lawan,tetapi parti kawan pun akan saya kritik jika ia salah,kalau nak bukti boleh tengok semua kenyataan saya,” ujar beliau.
Kata Dr Akmal, rakyat ingin melihat perubahan negara ini bermula daripada pemikiran pemimpin.
“Jika masih lagi dengan pemikiran yang parti aku sahaja yang betul semua dan parti orang lain salah semuanya maka tidak perlu jadi pemimpin,boleh jadi lembu atau lobak.
“Sekali lagi saya ulang, saya bukan walaun mahupun walanon,saya pemimpin rakyat.
“Dan saya tetap konsisten sehingga hari ni sama ada kamu kerajaan mahupun pembangkang,saya akan bawa suara rakyat tanpa rasa takut sedikit sekalipun.
“Itu bezanya antara pemimpin dan orang yang cari makan dengan politik,” tegasnya.
Akaun Facebook tersebut mendakwa Dr Akmal menyerang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP dan Pakatan Harapan (PH).