KPM sudah jumpa ibu bapa pelajar ditampar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengadakan perjumpaan bersama ibu bapa dua pemain bola tampar perempuan bawah 14 tahun Melaka yang ditampar jurulatih, semalam.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pertemuan itu adalah bertujuan untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak ibu bapa pelajar yang terlibat dengan kejadian tersebut.

“Kami (KPM) dah jumpa ibu bapa pelajar untuk dapatkan maklum balas dan kami tidak akan bertolak ansur soal keganasan terutamanya terhadap pelajar kita.

“Keprihatinan kami sangat besar berkenaan isu ini dan keutamaan kami adalah keselamatan serta kebajikan pelajar tersebut,” katanya lapor Bernama selepas meninjau pembukaan sekolah sesi ketiga bagi tahun 2022-2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, Shah Alam.

Menurut Fadhlina, maklum balas yang diterima daripada ibu bapa serta pihak berkepentingan yang lain akan dilihat secara keseluruhan dan siasatan bakal diteruskan khususnya yang berkait rapat dengan integriti dan tatatertib.

Fadhlina berkata KPM menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka juga sudah melaksanakan sesi kaunseling terhadap dua remaja berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya adakah KPM akan membuat laporan polis berkenaan isu terbabit, Fadhlina berkata pihak kementerian boleh melaksanakan siasatan menerusi bahagian integriti dan tatatertib.

“Kami masih lagi menyiasat, tidak semestinya kami tunggu laporan polis. Kami boleh siasat sebab ada bahagian integriti dan tatatertib,” katanya.

Sebelum ini tular video memaparkan tindakan seorang jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemain remaja perempuan. Insiden itu dipercayai berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor yang diadakan pada 14 hingga 16 Dis lepas.

Mengulas berhubung kewajaran untuk menambah prasekolah dan tadika kerajaan di kawasan bandar kerana dikatakan tidak mampu menampung keperluan semasa, Fadhlina berkata kementeriannya sedang melihat keutamaan perkara itu.

Beliau berkata pihaknya bersama ketua setiausaha KPM dan ketua pengarah Pelajaran Malaysia sudah berbincang mengenai perkara berkenaan dan melihat ada keperluan untuk menambah fasiliti tersebut serta dasar terkait rapat mengenai perkara itu akan dipercepatkan.

Mengulas berhubung prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 di sekolah susulan penemuan dua varian utama dari China yang sudah ada di Malaysia, Fadhlina berkata kementeriannya akan merujuk dan patuh kepada arahan terkini Kementerian Kesihatan.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata sekolah turut diberi kelonggaran untuk membenarkan pelajar mereka memakai tali leher ataupun tidak berbuat demikian kerana kuasa tersebut adalah bawah bidang kuasa sekolah.

Beliau mengulas pertanyaan pemberita susulan Dewan Rakyat kini melonggarkan pemakaian tali leher.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat