KOTA KINABALU – DAP Sabah tegas tidak akan mengambil sebarang jawatan dalam Kerajaan Sabah, termasuk jawatan sebagai ADUN lantikan.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, mereka telah menerima isyarat yang jelas dan tidak meragukan daripada para pengundi.
Jelas beliau, tidak dapat dinafikan bahawa pilihan raya kali ini mencerminkan krisis keyakinan yang serius terhadap DAP dan Pakatan Harapan.
“DAL telah mengadakan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) malam tadi (2 Disember) untuk membincangkan keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah.
“Dalam mesyuarat tersebut, DAP Sabah membentangkan keputusan mereka kepada CEC bahawa mereka tidak akan mengambil sebarang jawatan dalam kerajaan Sabah, termasuk jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah lantikan.
“Para pemimpin DAP Sabah akan terus berkhidmat secara aktif kepada rakyat Sabah dan berusaha mengembalikan keyakinan rakyat,” kata Loke dalam kenyataan media.
Menurut Menteri Pengangkutan itu lagi, pemimpin dan anggota yang terlibat dalam kempen amat peka bahawa terdapat ketidakpuasan yang meluas di kalangan rakyat sepanjang tempoh berkempen.
“Berikutan perbincangan dan penilaian dalaman, kami akan mengumpulkan semua maklum balas yang diterima dan berusaha bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempercepatkan agenda reformasi dalam tempoh 6 bulan yang akan datang,” ujarnya.
DAP bertanding di 8 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah namun ‘ranap’ di semua kawasan ditandingi.



