KOTA KINABALU – Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Mustapha Pendidikan memecat pegawai di kementerian itu yang ditahan polis terkait Ops Songsang dalam serbuan di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit, baru-baru ini.
Menurut Mustapha beliau mengambil maklum laporan berhubung penahanan salah seorang pegawai yang berkhidmat di pejabat saya oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.
“Kementerian telah mengambil beberapa tindakan tegas bagi memastikan integriti perkhidmatan awam terus terpelihara.
“Antara tindakan serta-merta yang telah dilaksanakan ialah, pegawai berkenaan telah diarahkan meletakkan jawatan serta merta daripada pejabat Timbalan Menteri.
“Unit Integriti KPT telah memulakan siasatan dalaman ke arah tindakan tatatertib mengikut ketetapan peraturan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Kata Mustapha, KPT menegaskan bahawa tiada sesiapa dikecualikan daripada proses undang-undang dan tatakelola, dan sebarang tindakan lanjut akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan Unit Integriti serta kerjasama dengan pihak berkuasa.
“Sebagai Timbalan Menteri, saya menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan integriti penyiasatan,” ujarnya.



