Kuala Lumpur: Pengacara Hawa Rizwana, 27, berkongsi pernah dirisik kenalan keluarga ketika mula menceburi industri seni, namun mengakui belum memikirkan soal jodoh pada ketika itu.
Hawa berkata niat baik pihak terbabit terpaksa ditolak memandangkan ketika itu dia masih terlalu muda untuk memberikan komitmen terhadap perhubungan, selain ingin fokus kepada kerjaya.
“Sejujurnya saya belum memikirkan soal jodoh kerana buat masa ini pun saya tiada calon, kalau setakat berkawan memang ramai tetapi untuk dijadikan pasangan saya agak memilih.
“Memang tidak dinafikan, soal jodoh dan teman hidup perlu ditapis. Kita sendiri ada kekurangan, jadi cari yang boleh lengkapi kita. Kiranya saling melengkapi antara satu sama lain.
“Buat masa ini saya mahu berdikari dulu dan puas tengok dunia. Apa pun paling utama biar jodoh itu datang sendiri, selain dapat restu mak ayah.
“Sebenarnya beberapa tahun sebelum ini ada kenalan keluarga pernah bertanya, nak diperkenalkan kepada anak mereka, cuma belum masanya,” kata Hawa.
Hos MeleTOP itu ditemui ketika pelancaran Flagship Store Rizman Ruzaini di Hotel Four Seasons, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Hawa turut berkongsi keterujaannya yang baru saja menggengam Ijazah Sarjana Komunikasi Massa dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.78 pada Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-95, Ahad lalu.
Menyimpan hasrat menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD), bekas penyampai berita itu bagaimana pun menyatakan perancangan terbabit tidak akan direalisasikan dalam waktu terdekat.
“Alhamdulillah, ini semua berkat doa mak ayah selain kerjasama pensyarah dan rakan sekuliah yang banyak membantu serta memberi sokongan.
“Saya pelajar separuh masa dan menghadiri kelas selepas jam 6 petang, tiga kali seminggu selama tiga jam setiap sesi dan ketika itu saya sudah bergelar wartawan penyiaran.
“Tentunya bukan mudah untuk mengimbangi pelajaran dan kerjaya, namun syukur semuanya membuahkan hasil,” katanya.
Harian Metro