SUNGAI BULOH- Mengakui sebagai calon ‘underdog’ Khairy Jamaluddin Abu Bakar berjanji tidak akan membiarkan Parlimen Sungai Buloh tumbang buat kali keempat pada PRU kali ini ditangan Pakatan Harapan (PH).
Menteri Kesihatan itu malah sedar Parlimen Sungai Buloh yang ditandinginya bukanlah kawasan putih, bukan juga kelabu tetapi kawasan gelap gelita seperti dirinya juga.
“Sungai Buloh ini bukan kawasan putih, bukan kelabu juga. Ini kawsaan gelap gelita macam saya juga,” selorohnya.
Dalam pada itu, Khairy sempat mengimbas kronologi sebelum beliau membuat keputusan memilih bertanding di Sungai Buloh.
“Saya berterima kasih kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar. Apabila saya diminta bagi laluan di Rembau, saya dapat panggilan daripada Tan Sri Noh yang minta saya datang tanding di Selangor.
“Kata Noh, Selangor ni dah tiga kali kalah malah tak ada siapa berani datang tanding. Noh kemukakan menu kawasan-kawasan untuk saya pilih.
“Semua kawasan gelap, hitam legam. Namun, Setiausaha Politik saya, Datuk Megat Firdouz Megat Junid yakinkan saya untuk tanding sini. Takkanlah dia nak kerat saya, kalau saya kalah dia pun tak ada kerja,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Khairy juga berikrar akan bersaing secara ‘gentlemen’ dan tidak akan sesekali menyerang peribadi lawan.
“Saya tak kisah parti lain nak tukar calon atau apa, itu urusan parti mereka. Saya buat kerja saya untuk tawan hati pengundi di sini.
“Di sini juga saya akan bertembung dengan calon PAS, saya akan berlawan secara sihat,” jelas beliau.
Khairy juga menyatakan keyakinan beliau untuk jadi penyumbang kemenangan BN bukan sekadar penumpang.
“Kita jangan jadi penumpang dalam BN. Jangan jadi pelengkap hanya letak calon sahaja, kita hadir untuk menang bukan untuk bertanding semata-mata,” tegas Khairy.