Biar Rakyat Hakimi Pihak Tolak Kerjasama Dengan Bersatu – Azmin

KUALA LUMPUR – Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyerahkan kepada rakyat untuk menghakimi sikap dan kenyataan pihak yang enggan bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu sebaliknya berkata, bagi pihak PN, gabungan itu hanya menganjurkan perpaduan dan kerjasama demi rakyat dan kepentingan negeri Melaka.

“Itu pilihan mereka (enggan berunding dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Biarlah rakyat membuat penghakiman tentang sikap dan kenyataan pihak-pihak yang tidak mahu bekerjasama,” katanya memetik Bernama, malam tadi.

Azmin berkata demikian merujuk beberapa bahagian UMNO di Melaka semalam yang menolak sebarang kerjasama diadakan antara parti dengan Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka pada 20 Nov ini.

Ketua Bahagian UMNO Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang mewakili kumpulan berkenaan berkata keputusan itu dibuat bagi menghormati kehendak akar umbi selain terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan kerjasama itu tidak dapat diadakan.

Selain itu, Azmin yang juga Ketua Penerangan PN dan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu berkata PN sentiasa mengambil sikap terbuka dan bertanggungjawab untuk mengadakan rundingan kerjasama, khususnya dengan parti yang membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Namun, seperti yang saya tegaskan juga…sebagai sebuah parti politik kita harus membuat persiapan di peringkat akar umbi khususnya pembahagian kerusi, penentuan calon dan jentera pilihan raya.

“Perkara ini perlu diperkemaskan seberapa segera yang boleh supaya jentera kita dapat bertindak dengan lebih efektif dan berkesan serta jangan sampai tindakan kita itu menyebabkan rakyat keliru tentang hala tuju, masa depan negara dan negeri,” katanya.

Beliau berkata kerjasama yang dibentuk pada tahun lepas menerusi gabungan PN telah menghasilkan banyak kejayaan ketika negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi, selain berpandangan kerjasama itu wajar dipertahankan serta diterjemah menerusi tindakan dalam PRN Melaka.