KUALA LUMPUR – Program Bimbingan Usahawan Atlet yang digerakkan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN)
berbentuk latihan, bimbingan serta dana perniagaan bertujuan untuk wira dan wirawati sukan negara menjadikan bidang keusahawanan sebagai sumber pendapatan mereka selepas bersara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC),Tan Seri Noh Omar berkata, terdapat dua kategori atlet negara iaitu usahawan atlet yang mempunyai idea perniagaan atau perniagaan sedia ada dan usahawan atlet yang tiada idea perniagaan.
“Kategori pertama adalah kumpulan peserta yang sudah mempunyai perniagaan dan memerlukan bimbingan lonjakan perniagaan ke skala seterusnya.
“Manakala kategori kedua pula adalah kumpulan peserta yang ingin menceburi atau memulakan bidang perniagaan berkonsepkan pra-francais.
Noh memberitahu, sebanyak RM71,808 atau 50.4 peratus jumlah peningkatan hasil jualan tercipta daripada 15 atlet negara yang berada di kategori pertama.
Katanya, ini membuktikan bahawa sasaran program tersebut iaitu peningkatan minimum 20 peratus hasil jualan telah tercapai dengan cemerlang.
” Manakala baki 9 lagi atlet akan memulakan perniagaan berkonsepkan pra-francais. 24 atlet negara termasuk 11 daripadanya adalah atlet paralimpik telah dibimbing oleh Business Coaches yang berpengalaman luas dalam bidang perniagaan dan keusahawanan bagi merangka strategi perniagaan dengan lebih berkesan, berdaya maju dan berkembang ke tahap lebih tinggi.
“Setelah mengikuti program yang telah dijalankan selama 6 bulan ini, INSKEN seterusnya menyalurkan dana berjumlah RM337,155 kepada 24 atlet negara sebagai pemangkin untuk mereka menambah baik atau
memulakan perniagaan,” kata Noh dalam kenyataan pada Selasa.
Mengulas perkara ini Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, program
ini merupakan kerjasama rentas kementerian antara MEDAC dengan Kementerian Belia dan Sukan dikendalikan agensinya iaitu INSKEN, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Majlis Sukan Negara melalui Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE).
Tambah beliau lagi, INSKEN bersedia untuk membantu lebih banyak golongan masyarakat tidak mengira latar belakang dan mengalu-alukan lebih banyak kolaborasi bersama kementerian mahu pun agensi lain.
“Atlet Silat Negara, Mohd Fauzi Khalid merupakan antara peserta program ini yang berjaya meningkatkan 126 peratus hasil jualan. Beliau yang menjalankan perniagaan makanan tambahan, Minyak Kelapa Dara berkata program ini membantu beliau memantapkan teknik mempromosi produk serta memperkemas strategi perniagaan lebih berkesan.
“Melihat kepada peningkatan yang cemerlang ini, INSKEN seterusnya menyerahkan dana berjumlah RM15,000 bagi membantu beliau memajukan perniagaannya,” katanya.
Selain itu, program ini turut disertai oleh atlet negara seperti Alia Sazana Azahari (Atlet
Menembak), Mohammad Aliff Mohamad Alwi (Atlet Para Olahraga), Ariffahmi Zaquan Ariffin (Atlet Para Tenis), Leong Mun Yee (Atlet Terjun) dan banyak lagi. Atlet-atlet yang menyertai program ini mempunyai perniagaan daripada pelbagai industri seperti makanan dan minuman, kosmetik dan kesihatan.
Majlis Penyerahan Bantuan Program Bimbingan Usahawan Atlet ini telah dirasmikan oleh Menteri MEDAC,Tan Seri Noh Omar disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.