SEREMBAN, – Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin mendakwa Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir menyelewengkan keputusan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) berhubung pemberhentian Undang Luak Sungei Ujong, selain melanggar Perjanjian 1898 melalui campur tangan dalam urusan adat luak.
Dalam kenyataan media bersama bertarikh hari ini, mereka mendakwa pengumuman bahawa DKU menasihatkan penerimaan pemberhentian Dato’ Haji Mubarak bin Thahak tidak mencerminkan keputusan Mesyuarat Khas DKU pada 17 April 2026.
Menurut kenyataan tersebut, tiada keputusan Dewan dibuat untuk melucutkan Mubarak daripada kedudukannya sebagai Undang Luak Sungei Ujong.
“Dalam mesyuarat 17 April 2026, majoriti anggota yang hadir — YTM Undang Luak Johol, YTM Tunku Besar Tampin dan YAM Dato’ Shahbandar Sungei Ujong — menentang usul itu.
“Satu-satunya sokongan datang daripada YAM Tunku Besar Seri Menanti, anakanda baginda. Tiada keputusan Dewan untuk melucutkan Dato’ Haji Mubarak,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, mereka mendakwa Tuanku Muhriz menitahkan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, mengeluarkan kenyataan media pada hari sama bahawa DKU “menasihatkan penerimaan pemberhentian” Mubarak.
Menurut mereka, dakwaan mengenai nasihat DKU itu kemudian dinafikan secara bertulis dan bermeterai oleh Undang Yang Empat pada 20 April 2026.
Kenyataan berkenaan turut mendakwa minit mesyuarat 17 April belum dikemukakan sehingga kenyataan terbaharu itu dikeluarkan, walaupun mereka merujuk Perkara 22 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) mengenai kewajipan berkaitan minit mesyuarat.
Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menyifatkan perkara tersebut sebagai tindakan mengetepikan nasihat muktamad DKU serta mengumumkan suatu nasihat yang, menurut mereka, tidak pernah diputuskan oleh Dewan.
“Baginda membuka semula nasihat muktamad bagi Rembau, dan mengumumkan ‘nasihat’ yang tidak pernah diputuskan bagi Sungei Ujong,” menurut kenyataan itu.
Menghuraikan latar mesyuarat 17 April, mereka menyatakan bahawa Tuanku Muhriz menitahkan Setiausaha DKU memanggil mesyuarat khas untuk mendengar laporan aduan daripada Telaga Undang Luak Sungei Ujong terhadap Mubarak.
Menurut kenyataan itu, surat panggilan bertarikh 15 April memberikan notis hanya dua hari, manakala notis berkenaan tidak dialamatkan kepada Mubarak yang menjadi subjek aduan ataupun Undang Luak Rembau.
Mereka turut mempertikaikan kedudukan adat pihak yang dijemput membawa aduan, dengan mendakwa pihak terbabit telah dikenakan hukuman menurut adat luak dan tidak mempunyai kedudukan adat yang sah.
Kenyataan tersebut menekankan bahawa mesyuarat itu berlangsung selepas proses “enquiry” pada 5 Mac 2026, apabila Mubarak mengemukakan pertanyaan secara langsung kepada Tuanku Muhriz berhubung beberapa perkara berkaitan pelaksanaan kuasa baginda.
Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin mengaitkan tindakan terhadap Mubarak dengan pertikaian lebih luas mengenai batas kuasa Yang di-Pertuan Besar dalam urusan pemerintahan luak.
Menurut mereka, Perjanjian 29 April 1898 menetapkan asas hubungan antara Yang di-Pertuan Besar dengan Undang Yang Empat, termasuk kuasa Undang memilih dan menabalkan Yang di-Pertuan Besar serta larangan campur tangan dalam urusan luak.
Mereka merujuk Fasal 3 perjanjian tersebut yang, menurut tafsiran mereka, melarang Yang di-Pertuan Besar mencampuri adat negeri dan hukum syarak serta menetapkan bahawa urusan setiap luak tidak tertakluk kepada titah baginda.
Fasal 4 pula, menurut kenyataan berkenaan, menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Besar tidak akan melayan aduan atau rayuan pegawai atau rakyat luak terhadap Undang masing-masing.
Mereka berhujah bahawa larangan tersebut merupakan asas penting keseimbangan kuasa di Negeri Sembilan, bukannya sekadar ketetapan sejarah.
Menurut kenyataan itu, terma Perjanjian 1898 diulangi dan dimeteraikan semula melalui perjanjian pada 16 Mei 1934, manakala Perkara 32 UUTKNS memelihara perlembagaan dan adat purba negeri, tertakluk kepada peruntukan yang dinyatakan.
Dalam isu Rembau, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menyatakan bahawa DKU yang dipengerusikan Tuanku Muhriz pada 4 Julai 2025 telah menerima dan mengiktiraf Dato’ Sedia Raja Dato’ Haji Abdul Rahim bin Haji Yasin sebagai Undang Luak Rembau ke-22.
Mereka mengambil pendirian bahawa nasihat itu muktamad di bawah Perkara 16(3) UUTKNS.
Namun, menurut kenyataan tersebut, agenda mesyuarat DKU pada 5 Mac 2026 memasukkan “Laporan Dapatan Kertas Siasatan Isu Pelantikan Undang Luak Rembau ke-22: Aduan dan Bantahan”, bersama pengesahan peringatan mesyuarat 4 Julai 2025.
Mereka mendakwa perkara itu menunjukkan keputusan yang telah dimuktamadkan dibuka semula atas aduan rakyat luak, dan menyifatkannya sebagai perbuatan yang bercanggah dengan Fasal 3 dan 4 Perjanjian 1898.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa pembukaan semula isu berkenaan telah dibantah dalam mesyuarat tersebut.
Berdasarkan kedua-dua pertikaian itu, mereka mendakwa Tuanku Muhriz mencampuri urusan Luak Rembau dan Luak Sungei Ujong serta bertindak untuk menjatuhkan pemerintah kedua-dua luak.
Mereka menegaskan bahawa UUTKNS meletakkan kuasa menilai kedudukan Yang di-Pertuan Besar pada Undang melalui Perkara 10, manakala kedudukan Undang sendiri tertakluk kepada adat luak.
“Undang ialah raja di luaknya; Yang di-Pertuan Besar tiada kuasa memilih, memecat atau mengganti Undang,” menurut kenyataan itu.
Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin turut berhujah bahawa persoalan jawatan Undang merupakan urusan berkaitan adat Melayu yang perlu mengambil kira struktur Raja majmuk di bawah Perkara 28.
Menurut tafsiran mereka, Yang di-Pertuan Besar tidak boleh melaksanakan fungsi tersebut secara bersendirian tanpa penyertaan Undang sebagaimana diperuntukkan dalam UUTKNS.
Kenyataan berkenaan seterusnya mempertikaikan penggantian Undang Rembau dan Undang Sungei Ujong yang didakwa berlaku selepas 20 Jun 2026.
Mereka menyifatkan penggantian itu sebagai “terbatal sejak mula”, antaranya kerana jawatan kedua-dua penyandang tidak pernah kosong melalui pemecatan yang sah, Undang perlu dipilih menurut adat luak, serta ketiadaan nasihat DKU yang sah dan tindakan Raja majmuk.
Mereka turut menyandarkan bantahan itu pada pendirian bahawa Tuanku Muhriz telah terhenti menjadi Yang di-Pertuan Besar berikutan sabda Undang Yang Empat pada 19 April, suatu kedudukan yang ditegaskan dalam kenyataan berkenaan.
Menurut mereka, penggantian kedua-dua Undang telah menimbulkan perpecahan dalam kalangan anak buah luak serta mengganggu susunan adat yang sepatutnya dipelihara.
“YTM Dato’ Haji Abdul Rahim bin Haji Yasin dan YTM Dato’ Haji Mubarak bin Thahak kekal sebagai Undang yang sah bagi luak masing-masing,” menurut kenyataan tersebut.
Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menyeru pihak berkuasa Persekutuan serta negeri mengambil kira keunikan struktur pemerintahan Negeri Sembilan, sambil meminta rakyat bertenang dan menjunjung adat serta Undang-Undang Tubuh.
Dakwaan dan tafsiran tersebut terkandung dalam kenyataan 12 halaman yang dikeluarkan atas nama Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin. Dokumen itu tidak menyertakan maklum balas pihak Istana atau pihak lain yang disebut berhubung dakwaan berkenaan.



