KUALA LUMPUR,– Pemuda UMNO Malaysia memberi amaran keras kepada kerajaan berhubung penahanan aktivis Global Sumud Flotilla oleh Israel, termasuk rakyat Malaysia. Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, menegaskan bahawa sekiranya semua aktivis berkenaan tidak segera dibebaskan, pihaknya akan mendesak kerajaan membatalkan jemputan kepada Presiden Donald Trump ke Malaysia.
“Kami mendesak pada pihak kerajaan agar membatalkan jemputan Trump ke Malaysia atau kami Pemuda UMNO seluruh negara akan turun bantah di hadapan Trump secara besar-besaran semasa lawatan beliau ke Kuala Lumpur. Biar kita berdepan dengan Trump secara terus! Sakiti mereka sama dengan sakiti kami semua rakyat Malaysia! Bebaskan aktivis Global Sumud Flotilla,” tegas beliau.
Ancaman itu hadir selepas beberapa laporan menyebut kapal flotila yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza telah dipintas, dan aktivis antarabangsa termasuk Greta Thunberg serta sekurang-kurangnya 12 rakyat Malaysia kini ditahan pihak Israel.
Kenyataan lantang Dr. Akmal menambah tekanan politik ke atas kerajaan untuk mengambil langkah diplomatik lebih keras, selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah mengecam tindakan Israel dan memberi jaminan keselamatan serta maruah rakyat Malaysia tidak akan dikompromi.



