BAITULMUQADDIS – Kementerian Luar Israel berkata akan mengusir aktivis pro-Palestin yang berada di atas kapal-kapal Global Sumud Flotila (GSF) ke Eropah selepas mereka dipintas oleh tentera laut rejim itu.
“Penumpang Hamas-Sumud di atas kapal layar mereka sedang menuju dengan selamat dan aman ke Israel, di mana proses pengusiran mereka ke Eropah akan dimulakan.
“Para penumpang berada dalam keadaan selamat dan sihat,” kata kementerian itu di laman X selepas tentera laut Israel memintas beberapa kapal yang belayar menuju ke Gaza.
Tentera laut Israel dilaporkan sudah menahan 223 aktivis di atas kapal.
GSF turut berkongsi senarai nama dan kewarganegaraan 223 aktivis di atas 15 kapal yang diserbu tentera Israel di laman Instagram antaranya warga Sepanyol, Itali, Brazil, Turkiye, Greece, Amerika Syarikat (AS), Jerman, Sweden, Britain, Perancis, Malaysia dan ramai lagi.
Kementerian Luar Israel berkata, aktivis yang ditahan sedang dalam perjalanan ke Pelabuhan Ashdod di Israel dan dari situ mereka akan diusir ke Eropah.
Penjejak rasmi flotila menunjukkan 21 kapal diserang oleh tentera Israel, manakala 23 lagi terus berlayar menuju Gaza.
Menurut penjejak tersebut, kapal Mikeno sudah memasuki perairan wilayah Gaza, namun isyarat penjejakan hilang apabila kapal itu berada kira-kira 9.3 batu nautika dari Gaza.
Menurut seorang aktivis Turkiye dari misi global itu, Erdem Ozveren, kapal mereka kurang daripada 30 batu nautika atau 55 kilometer dari Gaza.
GSF berkata, tentera Israel mengepung kapal-kapal ketika mereka belayar ke Gaza dan melaporkan gangguan isyarat dan komunikasi terputus di kebanyakan bot.
Beberapa aktivis menyiarkan video di media sosial yang menunjukkan bot tentera laut Israel menghampiri konvoi dan mengarahkan mereka menukar haluan.
“Kami sedang diserang sekarang oleh tentera Zionis. Beberapa kapal telah pun dipintas dan keadaan darurat diisytiharkan di semua kapal,” kata Jawatankuasa Antarabangsa untuk Memecahkan Kepungan Gaza (ICBSG) di platform X.
Jawatankuasa itu berkata, Israel menggunakan kekerasan terhadap aktivis, merempuh sebuah kapal, menggunakan meriam air dan menaiki kapal secara paksa sambil melayan tahanan aman dari 50 negara di seluruh dunia dengan kasar.



