KUALA LUMPUR – Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil menuntut penjelasan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkait pengukuhan nilai ringgit tidak membawa kepada penurunan harga barangan.
Beliau juga mempersoalkan langkah kerajaan menangani kenaikan harga barangan.
“Saya ingin tanya kerajaan adakah mereka tahu dan sedar bahawa harga barang tetap meningkat walaupun ringgit semakin mengukuh? Dulu mereka kata harga barang mahal sebab ringgit lemah.
“Kini ringgit mengukuh tetapi mengapa harga barang semakin mahal? Dulu mereka kata ayam mahal sebab ringgit jatuh. Sekarang ringgit sudah kuat kenapa harga ayam tidak turun? Kita mahu ringgit kukuh sebab kita ingin menstabilkan harga barang. Banyak barang keperluan dan makanan diimport dan apabila ringgit lemah harga menjadi mahal.
“Namun apa guna ringgit mengukuh jika harga barang pun meningkat? Apa yang kerajaan buat untuk menangani kenaikan ini selain berbangga dan mendabik dada setiap hari yang ringgit mengukuh dan claim kredit ia adalah kerana kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim? soal beliau.
Isham malah mengulang tuntutan untuk berdebat dengan Rafizi namun ditolak dengan alasan beliau tidak menjawat sebarang jawatan.
“Menteri Ekonomi fahamkah mengapa kita mahu ringgit kukuh? Saya telah ajak dia berdebat beberapa kali tetapi dia takut dan tidak mahu, dia kata kononnya sebab saya tidak ada jawatan.
“Dulu semasa saya ada jawatan pun bila saya ajak debat dia takut. Kini bila saya sudah tidak ada jawatan dan hanya seorang rakyat biasa yang bebas bersuara pun dia masih takut.
“Dia hanya suka buli orang yang dia rasa dia boleh makan di podcast yang direkod dan diedit beberapa kali di studio dia untuk tunjuk dia hebat. Marilah kita debat secara live di tempat yang neutral,” pelawa Isham.
Dakwa beliau lagi, apa yang lebih teruk adalah adakah mekanisme pengukuhan ringgit yang dibuat oleh kerajaan itulah yang sebenarnya telah menyebabkan harga barang naik mencanak?
“Kerajaan dan Bank Negara kata antara sebab utama kenaikan ringgit adalah inisiatif kerajaan dalam rasionalisasi subsidi contohnya apabila kerajaan menaikkan harga diesel sebanyak 56 peratus sehingga RM1.20 kepada RM3.35 beberapa bulan lalu. Mereka kata sebab ini pelabur yakin dan pelabur pun beli ringgit dan ringgit mengukuh.
“Namun jika ringgit mengukuh sebab ini dan pelabur suka dan untung tetapi kenaikan mencanak diesel untuk menyokong ringgit itu menyebabkan harga barang melonjak kepada rakyat, apalah gunanya? Ini bukanlah kesan kenaikan ringgit yang rakyat mahu malah ia adalah sebaliknya,” katanya.
Isham juga mendakwa, Gabenor Bank Negara mengaku yang ringgit naik sebab faktor luaran, iaitu penurunan kadar faedah di dua gergasi ekonomi dunia iatu Amerika Syarikat dan China.
“Hampir semua matawang di negara lain termasuk Malaysia meningkat oleh kerana ini. Prestasi ringgit lebih baik dari matawang negara-negara lain sebab kerajaan kita naikkan diesel RM1.20.
“Dan sebab ini juga harga barang makin meningkat dan tidak turun. Inikah yang dibangga-bangga oleh PMX dan Rafizi? Come on Rafizi,” kata Isham.