Oleh Zihan Zari
JOHOR BAHRU – Kombinasi teknologi nuklear, dasar yang kukuh dan inovasi dalam pertanian adalah kunci untuk mencapai kelestarian makanan, walaupun di tengah cabaran perubahan iklim yang semakin kritikal.
Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), Dr. Rosli Darmawan berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Keselamatan Makanan 2024 ke-11 di Hotel Grand Paragon dekat sini, Rabu lalu.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengkomersialan Teknologi (BKT)Nukelar Malaysia, Dr. Rasif Mohd Zin.
Dr. Rosli berkata, cuaca ekstrem, peningkatan suhu global dan perubahan taburan hujan telah menyebabkan gangguan besar terhadap sektor pertanian dan pengeluaran makanan.
Menurutnya, fenomena ini bukan sahaja menjejaskan ketersediaan makanan, tetapi juga mencabar keselamatan makanan negara dari segi pengeluaran, pengedaran dan penyimpanan.
Menurutnya lagi, inisiatif Atoms4Food yang disokong oleh IAEA membuka peluang besar untuk memperkukuh keselamatan makanan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global.
“Berdasarkan trend amalan dan penggunaan semasa, pengeluaran pertanian dijangka meningkat kira-kira 70% pada 2050 untuk memenuhi permintaan makanan masa hadapan, ”katanya.
“Malaysia perlu mengukuhkan infrastrukturnya dengan mengetengahkan teknik nuklear yang inovatif seperti pembiakan mutasi tumbuhan untuk menghasilkan varieti tanaman baharu dan benih yang lebih baik, serta penanda molekul untuk pencirian makanan dan pemantauan terperinci keadaan tanah serta alam sekitar yang terjejas akibat perubahan iklim.
Selain itu, Teknik Serangga Mandul (SIT) digunakan untuk mengawal perosak seperti lalat buah, sementara isotop turut membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau bagi memastikan sektor pertanian lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim,”katanya lagi.
“Kerjasama antara kerajaan, industri dan akademia amat penting dalam memastikan teknologi dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh keselamatan makanan negara.
“Nuklear Malaysia terus komited dalam usaha mengarusperdanakan teknologi nuklear dalam sektor pertanian Malaysia khususnya.
“Ia juga mampu memperkasa daya tahan sektor makanan negara dalam menghadapi cabaran perubahan iklim yang semakin kompleks, ”ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Teknologi Industri Nuklear Malaysia selaku Pengerusi penganjur seminar, Dr. Nor Pa’iza Mohamad Hasan berkata, fenomena cuaca ekstrem, peningkatan suhu global dan perubahan taburan hujan menyebabkan gangguan kepada sektor pertanian dan pengeluaran makanan.
Menurutnya, kesan ini bukan sahaja menjejaskan ketersediaan makanan, malah menimbulkan isu keselamatan makanan, di mana pengeluaran, pengedaran dan penyimpanan makanan menjadi semakin mencabar.
“Kita perlu berinovasi dan mencari penyelesaian untuk memastikan bekalan makanan yang selamat dan mencukupi, meskipun berdepan dengan perubahan persekitaran yang tidak menentu.
“Seminar ini menampilkan sebanyak 10 kertas kerja dibentangkan oleh beberapa pakar dari agensi kerajaan dan industri berkongsi pandangan dan pengalaman mereka mengenai bagaimana untuk memperkukuh sistem makanan yang lebih lestari dan berdaya tahan, terutamanya dalam konteks perubahan iklim,”katanya.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Nuklear Malaysia memaklumkan, seminar ini didukung oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pertanian & Keterjaminan Makanan (KPKM).
Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Penyelidikan & Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Farm Fresh Milk Sdn. Bhd.
“Sebanyak 8 buah reruai, menampilkan aktiviti dan teknologi terkini dalam bidang teknologi makanan.
“Ianya memberi peluang peserta melihat sendiri inovasi yang sedang dilaksanakan dan bagaimana teknologi ini boleh membantu menangani cabaran keselamatan makanan yang semakin mencabar, ”kata kenyataan itu lagi. – SUARA.TV