Dakwaan Empangan Kenyir Bakal Pecah Tidak Benar – NADMA

- Advertisement -

PETALING JAYA – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengesahkan isu tular mengenai Empangan Kenyir, Hulu Terengganu yang didakwa akan pecah berikutan bakal menerima taburan hujan lebat tahun ini sebagai palsu.

NADMA melalui satu kenyataan hari ini menasihatkan orang ramai tidak terpengaruh dengan isu itu sebaliknya mengesahkan beberapa paparan tersebar di media sosial adalah berkaitan Latih Amal Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Kenyir yang diadakan pada 26 hingga 29 September lalu.

“Latih amal itu adalah program membabitkan agensi kerajaan bersama anggota komuniti bagi memastikan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana berada pada tahap optimum,” jelas kenyataan itu.

Katanya, semua agensi termasuk anggota komuniti perlu peka terhadap semua risiko bencana bagi memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap tertinggi.

“Masyarakat perlu peka dan mengetahui pelan tindakan komuniti jika berlakunya bencana,” jelas kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, jelas NADMA, selaku agensi peneraju dalam pengurusan bencana negara, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam menganjurkan pelbagai program latih amal.

Katanya, ia bertujuan meningkatkan keupayaan semua pihak supaya sentiasa bersedia untuk melaksanakan operasi berkaitan bencana dengan berkesan di samping berdaya tahan terhadap bencana.

Jelas NADMA lagi, latih amal itu bukan baharu, malah pernah diadakan bagi Empangan Bakun di Sarawak, Empangan Sultan Abu Bakar di Cameron Highland dan beberapa empangan lain.

“Lain-lain latih amal yang pernah dianjur bagi memastikan kesiapsiagaan agensi dan masyarakat adalah Latih Amal Tsunami di Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.

“Latih Amal turut diadakan untuk memperkasa koordinasi pelbagai agensi dalam menghadapi bencana, selain meningkatkan kefahaman dan keupayaan setiap agensi kerajaan yang berkaitan terhadap kaedah serta strategi pengendalian bencana,” jelasnya.

Katanya, selain meningkatkan kefahaman masyarakat, latih amal dapat menambah baik strategi pengendalian bencana di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK). – Kosmo

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat