RCI Tabung Haji: Beberapa individu didakwa esok dan lusa, SPRM buka 14 kertas siasatan

PUTRAJAYA: Beberapa individu yang pernah ditahan bagi membantu siasatan berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) akan didakwa di mahkamah esok dan lusa.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pertuduhan berkenaan dijangka dibuat di mahkamah di Shah Alam, Kuala Lumpur dan Kelantan.

Menurut beliau, kes itu melibatkan pertuduhan penyalahgunaan kuasa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan kesalahan menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Dua pertuduhan itu melibatkan penyalahgunaan kuasa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Abd Halim berkata, satu lagi kertas siasatan akan dikemukakan kepada Peguam Negara dan pertuduhan berkaitan dijangka dibuat pada minggu hadapan.

Kertas siasatan itu dibuka susulan siasatan terbaharu SPRM berhubung isu pajakan hartanah dalam pelaburan Al Rawda, membabitkan pajakan hotel di Makkah dan Madinah bernilai 2.49 bilion riyal Saudi.

Beliau tidak menolak kemungkinan kes yang dijangka didakwa minggu hadapan itu membabitkan individu kenamaan yang pernah direman SPRM sebelum ini.

Menurut Abd Halim, SPRM secara keseluruhannya membuka 14 kertas siasatan berkaitan RCI Tabung Haji, dengan empat daripadanya diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.

“Setakat ini, sebanyak 18 individu ditahan dengan 11 daripadanya direman. SPRM turut memanggil 245 saksi serta memeriksa dan menggeledah 60 premis bagi mendapatkan dokumen berkaitan,” katanya.

Antara 11 individu yang direman ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH Plantation, bekas Ketua Pegawai Kewangan TH Plantation, bekas pengarah Putra Perdana Construction, bekas pengarah Putrajaya Perdana Berhad, bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji dan bekas Menteri Hal-Ehwal Agama Islam. – BERNAMA/SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat