IPOH — Pintas Utama Sdn Bhd menyumbangkan 50 unit komputer riba bernilai hampir RM200,000 kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan bagi membantu memperkukuh akses pendidikan serta pembelajaran digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama, Datuk Marhalim Mohamed berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat untuk membantu melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing.
Menurutnya, usaha itu turut memberi perhatian kepada keperluan pelajar mendapatkan akses kepada kemudahan teknologi serta pembelajaran digital.
“Kami percaya akses kepada pendidikan terbaik ialah peluang yang sewajarnya diberikan kepada setiap pelajar kerana mereka mempunyai potensi besar untuk mencorakkan masa hadapan negara.
“Dalam persekitaran pendidikan hari ini, komputer riba bukan lagi sekadar kemudahan tambahan, sebaliknya menjadi keperluan penting bagi membolehkan pelajar mengakses bahan pembelajaran, melaksanakan tugasan serta meningkatkan kemahiran digital mereka,” katanya dalam kenyataan bersempena majlis penyerahan itu.
Sumbangan itu disalurkan menerusi Program Kerjasama Wakalah dalam satu seminar kecemerlangan SPM 2026 – Skim Biasiswa Pelajaran Baitulmal (SBBP) Zon Tengah yang berlangsung semalam.
Penyerahan sumbangan berkenaan disempurnakan wakil Pintas Utama dan disaksikan Ketua Pegawai Operasi Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), Wan Maizura Wan Zahari serta Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat Pintas Utama, Rohizan Omar.
Sumbangan tersebut merupakan kesinambungan daripada pelaksanaan inisiatif Pintas Utama di Perak sebelum ini yang menyaksikan 30 unit komputer riba disumbangkan kepada pelajar menerusi satu program di Manjung pada 26 Ogos lalu.
Sementara itu, penerima sumbangan, Ayuni Natasha Muhammad Zamrud, 17, menyifatkan pemberian komputer riba berkenaan amat bermakna dalam membantu persiapannya menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kerana sebelum ini dia tidak pernah memiliki komputer riba.
“Sumbangan itu sangat membantu, saya boleh terus menghantar tugasan kepada guru untuk disemak, malah membolehkan saya membuat latihan sendiri dan mendapatkan semakan guru untuk memperbaiki kelemahan,” katanya.
Bagi Muhammad Fadzli Sharolmuni, 17, sumbangan komputer riba itu amat besar ertinya kerana sebelum ini dia terpaksa menyiapkan kerja kursus di makmal komputer sekolah atau kafe siber.
Anak yatim daripada lapan adik-beradik itu berkata keadaan ekonomi keluarga menyebabkan pembelian komputer riba bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi selepas ibunya menghidap strok dan tidak lagi dapat bekerja.
“Kami bergantung kepada bantuan daripada kakak dan abang berusia 27 dan 26 tahun sebagai tonggak utama keluarga,” katanya.
Terdahulu, Pintas Utama turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada lebih 80 orang asnaf di Masjid Al-Ikhwan, Tanjong Malim, Perak, sempena sambutan Maulidur Rasul dan Bulan Kebangsaan.
Marhalim berkata, sumbangan itu mencerminkan komitmen Pintas Utama dalam memastikan manfaat daripada pelaksanaan wakalah zakat dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan secara berkesan.
Katanya, usaha berkenaan secara tidak langsung membantu meringankan beban keluarga dalam menyediakan kemudahan pembelajaran yang mencukupi untuk anak-anak.
Pada masa sama, Pintas Utama turut terlibat dalam pelaksanaan beberapa projek infrastruktur di Perak, khususnya kerja penyelenggaraan dan pembaikan cerun serta pembangunan sistem pembentungan.
“Sebagai syarikat yang turut terlibat dalam pelaksanaan projek infrastruktur di Perak, kami melihat tanggungjawab kepada komuniti sebagai sebahagian daripada ekosistem pembangunan yang lebih menyeluruh.
“Infrastruktur yang baik perlu disokong oleh masyarakat yang mempunyai akses kepada pendidikan, peluang dan kehidupan yang lebih berkualiti,” katanya.



