Naikkan ambang persetujuan RUU PSB dari 80 kepada 95 peratus- G25

KUALA LUMPUR – Kumpulan G25 yang dianggotai pesara pegawai kanan kerajaan menyatakan sokongan terhadap gesaan supaya ambang persetujuan dalam Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) dinaikkan kepada 95 peratus untuk semua kategori.

Dalam satu kenyataan, G25 berkata kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming bahawa semua projek pembangunan semula di bawah RUU itu kini memerlukan persetujuan 80 peratus pemilik boleh menyebabkan hak 20 peratus yang membantah diketepikan.

“RUU ini juga mewujudkan duluan yang bahaya di mana hak milik persendirian boleh dirampas menerusi persetujuan yang dimanipulasi,” kata G25, sambil menambah bahawa pemilikan hartanah menjadi isu kontroversi utama mengenai RUU tersebut.

“80 peratus terlalu rendah,” kata kumpulan itu lapor FMT.

Minggu lalu, Kor Ming berkata RUU itu akan dipinda kepada peraturan persetujuan baharu selepas ia mendapat tentangan daripada ahli Parlimen dan kumpulan masyarakat sivil.

Sebelum ini, RUU tersebut mencadangkan ambang persetujuan lebih rendah bagi jenis bangunan tertentu, iaitu 75 peratus bagi bangunan berusia lebih 30 tahun dan 51 peratus bagi bangunan terbengkalai atau tidak selamat.

Pindaan itu dibuat selepas jawatankuasa Parlimen mengenai infrastruktur membangkitkan kebimbangan terhadap kadar ambang tersebut dalam sesi libat urus pada 21 Ogos lalu.

Kor Ming juga berkata mencapai ambang 80 peratus bukan bermakna bangunan akan terus diroboh atau penduduk diusir, sebaliknya ia hanya menandakan proses perbincangan boleh dimulakan dengan pemilik terlibat.

Beliau turut berkata mendapatkan persetujuan semua pemilik hampir mustahil untuk kebanyakan flat lama kerana ada pemilik yang tidak dapat dikesan atau menghadapi masalah undang-undang yang belum selesai.

G25 menegaskan ia menyokong pendirian kumpulan masyarakat sivil seperti KLRA+SD bahawa ambang persetujuan mestilah hampir sebulat suara, sekurang-kurangnya 95 peratus, bagi bangunan berpenghuni yang tidak berdepan isu keselamatan.

“Tanpa perlindungan jelas terhadap kepentingan pemilik rumah dan mekanisme semak imbang bebas, menurunkan ambang ini berisiko melanggar Perlembagaan Persekutuan dan mengabaikan kepentingan golongan minoriti,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat