Rancak Ekonomi Sempadan, Kerajaan Akan Bangunkan Laluan 4 Lorong Pokok Sena Ke Bandar Durian Burung – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membangunkan laluan empat lorong dari Pokok Sena ke Bandar Durian Burung.

Ini sebagai usaha kerajaan mempergiatkan pembangunan infrastruktur di sempadan Malaysia-Thailand.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata adalah menjadi agenda kerajaan untuk membangunkan seluruh pelusuk negara termasuk di Kedah, bagi memastikan tiada ahli Keluarga Malaysia yang terpinggir daripada nikmat pembangunan negara.

“Dalam mempergiatkan pembangunan infrastruktur di sempadan Malaysia –Thailand, kerajaan akan membangun laluan empat lorong dari Pokok Sena ke Bandar Durian Burung,” kata Perdana Menteri di Alor Setar pada Jumaat ketika merasmikan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Kedah.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga cakna dalam meningkatkan fasiliti perubatan, dan tahap kesihatan Keluarga Malaysia termasuk di negeri Kedah.

“Di bawah peruntukan RP4, RMK12, kerajaan telah merancang untuk membina sebuah Pusat Kanser Wilayah Utara (PKWU) yang terletak di Sungai Petani,” katanya.

Selain itu jelas Perdana Menteri lagi, bagi meminimumkan kesan bencana banjir di Kedah, kerajaan komited melaksanakan sebanyak tujuh Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dalam RMKe-12 dengan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion, termasuk di Sungai Pendang; Sungai Kedah/Anak Bukit; Baling, Kuala Pegang dan Bandar Jitra Selatan.

“Sebanyak RM239 juta juga telah diperuntukkan bagi pembinaan rangkaian sistem pembetungan di seluruh negeri Kedah, yang merangkumi 28 loji kumbahan awam dan 16 loji kumbahan di premis kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang membangunkan projek strategik berimpak tinggi telah berjaya menarik pelaburan bernilai lebih RM37.21 bilion, sekali gus mewujudkan lebih 36,717 peluang pekerjaan baharu di negeri Kedah yang dijangka dapat memacu pembangunan sosio ekonomi Wilayah Utara.

Juga kata Perdana Menteri lagi, kerajaan sentiasa peka dan prihatin akan kepentingan jalinan jalan raya yang sempurna untuk memudahkan Keluarga Malaysia khususnya di negeri Kedah untuk menjalankan kegiatan harian dengan selamat dan selesa.

Justeru, bagi kelancaran aliran trafik dan meminimumkan tempoh perjalanan, kerajaan membelanjakan RM425 juta untuk menaik taraf laluan tujuh dari persimpangan Lencongan Barat ke persimpangan Tiga Kemboja, selain memperuntukkan RM526 juta untuk menaikkan taraf jalan persekutuan Gerik/Kupang/Lunas.

“Kerajaan juga akan menggantikan Jambatan Manjalara di Kota Setar yang telah uzur, dengan jambatan baharu bagi memastikan lalu lintas lebih sistematik, untuk kemudahan Keluarga Malaysia.

“Menyedari pentingnya pendidikan terhadap masa depan Keluarga Malaysia di Kedah, sebanyak RM1.13 bilion melibatkan 109 projek baharu dan sedia ada telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan,” katanya lagi.

Menurut Ismai Sabri, pelaksanaan projek strategik berimpak tinggi seperti Kedah Rubber City yang akan melonjak nilai dagangan dan menjadikan Padang Terap sebagai bandar sempadan utama negara, serta Pembangunan Intergrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting, di Yan membuktikan Kedah tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan pusat.

“Kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanahnya”.

“Kekuatan sesebuah kerajaan adalah kerana pemimpinnya, sedangkan kekuatan pemimpin adalah kerana rakyatnya yang bersatu-padu ibarat satu keluarga yang besar,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat