Mahkamah Buat Keputusan Betul, Kata Anak Rosmah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Anak perempuan Datin Seri Rosmah Mansor, Datin Azrene Soraya Abdul Aziz menyatakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam adalah betul apabila menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan didenda RM970 juta ke atas ibunya.

Azrene adalah anak Rosmah dengan perkahwinannya yang terdahulu menegaskan hukuman yang diputuskan oleh mahkamah wajar dihormati.

Umum maklum selepas Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sekali gus era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak juga berakhir, Azrene dengan beraninya mendedahkan sisi gelap ibunya dan juga bapa tirinya malah mengakui hubungan mereka sudah lama ‘dingin’.

“Biarlah perkara itu habis sehingga ke Mahkamah Persekutuan jika perlu. Kita perlu mempercayai fakta dan keupayaan badan kehakiman kita bagi mencapai penghakiman tanpa halangan dan tanpa rasa takut.

“Sebagai seorang anak adalah mudah untuk berfikir hanya secara subjektif. Ia sentiasa sukar untuk menjadi objektif dalam pemikiran dan tindakan kita, memandangkan keadaan sosio-teologi yang telah kita terima sejak lahir.

“Walaupun banyak ‘white noise’ (kebisingan) subjektif oleh masyarakat kita, budaya dan penerapan agamanya, saya tetap objektif. Betul adalah betul, salah adalah salah – terutama apabila ia berkaitan dengan pemimpin (termasuk pasangan); walaupun mereka adalah keluarga,” catat isteri chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob itu di Instagramnya.

Azrene juga mengakui sering menerima pelbagai teguran sejak empat tahun lalu, selepas kejatuhan kerajaan BN.

Beliau menegaskan akan terus memperjuangkan kepentingan negara kerana ia adalah tanggungjawabnya sebagai manusia dan rakyat Malaysia, walaupun kapasitinya terhad.

“Sebagai seorang anak, saya hanya boleh terus mendoakan mereka (ibu bapa) dan mengharapkan yang terbaik walaupun saya menjangkakan yang paling teruk,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan yang berjalan secara serentak dan didenda RM970 juta.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan hingga Rosmah mengemukakan rayuan.

Jika beliau gagal membayar denda berkenaan, Rosmah perlu menjalani hukuman penjara tambahan 30 tahun.

Rosmah didapati bersalah meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah didakwa meminta dan menerima suapan daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holding iaitu Saidi Abang Samsudin.

Rasuah itu diterima melalui bekas pegawai khas suaminya Najib, iaitu Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat