Rangsang potensi ekonomi jingga

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Prospek ekonomi jingga atau ekonomi kreatif dalam menyediakan peluang pekerjaan baharu pada era pandemik COVID-19 serta keupayaan penggerak memberi sumbangan signifikan dalam pertumbuhan negara, tidak harus dipandang ringan.

Mengikut penyelidik terkenal dalam bidang ekonomi jingga, John Howkins, antara bidang yang boleh disenaraikan dalam ekonomi kreatif adalah seni lukis, seni persembahan, seni reka, kraftangan, filem, penulisan, penerbitan program radio dan televisyen (TV) serta permainan video.

Kepesatan pembangunan teknologi dan digital turut menyumbang kepada peralihan minat terutama dalam kalangan generasi muda terhadap dunia kreatif yang kini menjadi sumber pendapatan pilihan, biarpun sekadar bermula sebagai hobi.

Pengerusi MyCreative Ventures, Noor Azmi Mat Said, berkata sejak ditubuhkan pada 2012, agensi itu terus memperkasakan usaha meningkatkan ekonomi jingga tempatan biarpun dalam keadaan mencabar ini.

“Ketika ditubuhkan, agensi ini hanya berfungsi sebagai pemberi pinjaman kepada penggiat industri jingga.

“Ini bermakna, jika penggiat industri mahu membuat kandungan bersama stesen TV seperti RTM atau TV3 tetapi bermasalah mendapatkan pinjaman, boleh datang kepada MyCreative Ventures yang menjadi institusi bantuan kewangan.

“Agensi kemudian diperkukuhkan dengan kewujudan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) serta

platform kreatif dan kesenian, RIUH pada 2017.

“Apabila saya menyertai MyCreative pada awal tahun ini, kami nampak fungsi MyCreative boleh dikembangkan di mana bukan sekadar institusi yang memberi bantuan kewangan, malah, berperanan sebagai badan yang membangunkan industri jingga,” katanya kepada BH Online.

Noor Azmi berkata, ekonomi jingga bukan sekadar industri seni dan budaya malah penerbitan kandungan seperti animasi, filem, drama, fesyen dan banyak lagi elemen lain yang berkait dengan kreativiti.

“Jadi, selagi memerlukan kreativiti untuk menghasilkannya, semuanya termasuk dalam ekonomi jingga. Kami mahu membangunkan ekonomi jingga secara menyeluruh, bukan sekadar satu industri.

“Agensi ini melihat industri jingga merangkumi pelbagai sektor yang membabitkan kreativiti seperti penerbitan kandungan, rekaan produk, pengiklanan dan pelbagai lagi,” katanya.

Sehubungan itu, Noor Azmi berkata, MyCreative Ventures menjadikan Korea Selatan sebagai inspirasi dalam merangka strategi membangunkan ekonomi jingga.

“Kita jadikan Korea Selatan sebagai inspirasi. Negara itu membangunkan ekonomi jingga secara menyeluruh.

“Contohnya, negara itu tidak hanya mengetengahkan muzik K-pop dan drama, malah, makanan, jenama dan budaya negara itu di mata dunia.

“Jadi, kita nampak bagaimana ekonomi jingga boleh dibawa ke hadapan secara menyeluruh,” katanya.

 

Noor Azmi berkongsi MyCreative Ventures menjadikan Korea Selatan sebagai inspirasi dalam merangka strategi membangunkan ekonomi jingga.
Noor Azmi berkongsi MyCreative Ventures menjadikan Korea Selatan sebagai inspirasi dalam merangka strategi membangunkan ekonomi jingga.

 

Noor Azmi berkata, MyCreative Ventures bukan sekadar mahu menjadi badan atau anak syarikat Kementerian Kewangan (MOF) yang memberi bantuan kewangan kepada penggiat ekonomi jingga tempatan.

“Kami mahu panjangkan fungsi kami bersama CENDANA dan RIUH ke arah pembangunan industri yang lebih teratur dan maju,” katanya.

Bersandarkan matlamat melindungi perniagaan, pekerjaan dan menghidupkan kembali ekonomi jingga pasca pandemik COVID-19, Noor Azmi berkata, banyak usaha dilaksanakan bagi mengurangkan bebanan ekonomi yang dihadapi penggiat industri jingga.

Ini merangkumi pemberian geran, pinjaman mudah, moratorium dan pelbagai program latihan.

“Antara kemudahan diteruskan adalah bantuan kewangan kepada pengusaha tapak seni dan persembahan.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kebanyakan tapak seni ini tidak boleh dibuka, namun, sewa perlu dibayar.

“Jadi, bagi mengelak tapak ini terhapus selepas industri kembali dibuka, pengusaha tapak yang tidak mempunyai modal mencukupi untuk menampung sewa, diberi bantuan.

“Usaha ini diambil agar mereka dapat mengekalkan lokasi sebagai tapak seni dan persembahan,” katanya.

Noor Azmi berkata, bagi pemuzik bebas seperti pemuzik jalanan atau ‘buskers’, MyCreative Ventures juga sedia menghulurkan bantuan.

“Kita lihat dalam tempoh PKP, pemuzik tidak boleh membuat persembahan. Jadi, kami beri komisen untuk mereka beraksi.

“Mereka boleh kemuka usul kepada CENDANA jenis persembahan yang mahu dibuat dan kaedah penyampaiannya. CENDANA akan beri bantuan dalam bentuk geran agar mereka dapat membuat persembahan.

“Contohnya, ada pelukis mural yang mahu berkarya. Mereka boleh usulkan di mana lukisan itu mahu dibuat. CENDANA akan beri dana mengikut ruang lingkupnya.

“Misalnya, dana untuk pengkarya membeli alatan warna dan kelengkapan diperlukan bagi menjalankan aktiviti seninya,” katanya.

Selain itu, Noor Azmi berkata, MyCreative Ventures menyediakan pinjaman mudah termasuk kepada syarikat yang sudah mendapat kontrak bersama stesen penyiar dan mahu melaksanakan projek terbengkalai akibat PKP.

“Kami faham untuk melaksanakan kontrak yang sudah dimeterai, mereka perlukan modal. Jadi, penerbit boleh kemukakan permohonan.

“Jika ada juga yang mahu menstruktur semula kontrak dan perlukan pinjaman, kita boleh berbuat demikian.

“Ini termasuk pihak yang mendapat komisen dari penyiar antarabangsa seperti Disney di mana kita ada program istimewa untuk membantu mereka melaksanakan projek terbabit,” katanya.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina (tiga dari kiri) bersama enam penerima program Bantuan Makanan Artis 2021, baru-baru ini. - Foto Ihsan CENDANA
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina (tiga dari kiri) bersama enam penerima program Bantuan Makanan Artis 2021, baru-baru ini. – Foto Ihsan CENDANA

 

Noor Azmi berkata, MyCreative Ventures turut menawarkan moratorium kepada pemohon yang terpaksa menangguhkan projek berikutan penularan pandemik COVID-19.

“Dalam tempoh PKP, ramai yang tidak dapat meneruskan kerja mereka. Jadi, ia perlu ditangguhkan.

“Disebabkan itu, mereka perlukan moratorium. Misalnya, mereka yang sudah menyiapkan kerja rakaman tetapi proses penyuntingan tidak sempat diselesaikan,” katanya.

Noor Azmi berkata, kemudahan moratorium turut diberi kepada individu atau syarikat yang bergiat dalam industri fesyen.

“Apabila pusat beli-belah ditutup, penggiat industri fesyen tidak boleh menjalankan perniagaan.

“Bagi mereka yang memiliki platform online mungkin tidak terlalu terjejas. Namun, pasti ada penurunan dalam jualan. Jadi, mereka menjadi antara penggiat industri kreatif terkesan yang memohon moratorium,” katanya.

Sementara itu, Noor Azmi berkata, CENDANA bekerjasama dengan Yayasan Sime Darby (YSD) dalam menganjurkan Program Bantuan Makanan Artis 2021, baru-baru ini.

Tambahnya, program itu bertujuan membantu pekerja budaya seperti seni persembahan, seni visual, muzik dan kraftangan yang terjejas pendapatan akibat penutupan sektor ekonomi dan sekatan PKP.

“Setiap penerima diberi baucar runcit mengikut keperluan. Pemohon bujang dan berkeluarga diberi nilai berbeza.

“Program ini dikendalikan di pasar raya Lotus Cheras, baru-baru ini. Kami terima banyak permintaan hingga membuka menawarkan baucar kepada penggiat budaya di luar Lembah Klang seperti Pulau Pinang, Perak dan sebagainya.

“Kami harap baucar runcit itu dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan dapur dan sebagainya.

“Kami tahu ada dalam kalangan penggiat seni yang bekerja sebagai ‘freelancer’ di mana pendapatannya bergantung kepada hari bekerja,” katanya.

MyCreative adalah salah satu cabang pelaburan kerajaan bermatlamat meningkatkan industri kreatif tempatan ke tahap lebih tinggi menerusi pelaburan kewangan strategik dan inovatif, sama ada dalam bentuk ekuiti atau pinjaman.

Diilhamkan daripada pengumuman peruntukan sebanyak RM200 juta Belanjawan 2012 kepada industri kreatif, MyCreative Venturues ditubuhkan pada 20 April 2012 di bawah Menteri Kewangan dan diselia Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sejak 2019.

Penggiat seni yang memerlukan bantuan daripada MyCreative Ventures boleh layari www.mycreative.com.my atau menghantar maklum balas dan cadangan kepada e-mel [email protected].

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat