Langkawi destinasi “travel bubble” bermula 16 Sept, dua negeri beralih fasa PPN – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program “travel bubble” berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan sebagai permulaan Pulau Langkawi telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September.

Selain itu katanya, destinasi pelancongan yang lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengumumkan peralihan fasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Melaka beralih kepada Fasa 2 manakala Negeri Sembilan beralih kepada Fasa 3.

Katanya, peralihan fasa bagi kedua-dua negeri ini akan bermula pada 4 September 2021.

Ismail juga memaklumkan bahawa Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik ini bakal melibatkan wakil daripada parti pembangkang.

Pendekatan ini ujarnya, merupakan salah satu usaha kolektif untuk melibatkan semua pemegang taruh bagi memastikan pemulihan negara berjalan seperti yang telah dirancang, seiring dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Alhamdulillah, hari ini buat pertama kalinya selepas beberapa bulan, kadar purata kebolehjangkitan (R-naught) seluruh negara berada di bawah 1.0, dan saya yakin kita berada di landasan yang tepat ke arah pemulihan negara.

“Berdasarkan unjuran data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), purata kadar vaksinasi di setiap negeri dijangka mencapai 80 peratus bagi populasi dewasa menjelang penghujung September 2021.

“Saya percaya kadar vaksinasi 100 peratus akan dicapai akhir Oktober 2021, sekali gus memberi perlindungan kepada Keluarga Malaysia,” kata Ismail Sabri.

Jelas beliau, rakyat dan seluruh Keluarga Malaysia juga perlu bersedia untuk hidup bersama COVID-19 sebagai endemik selepas Oktober apabila suntikan vaksin dijangka selesai sepenuhnya.

Justeru menurut Perdana Menteri lagi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta untuk membentangkan strategi baharu pandemik dan endemik yang bersesuaian selain daripada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semata-mata.

” Saya menyambut baik saranan mengenai usaha untuk melakukan perubahan kepada tingkah laku (behavioural change) seperti yang diumumkan KKM pada 1 September 2021.

“Keluarga Malaysia perlu sedar, akhirnya kita terpaksa hidup bersama COVID-19 seperti yang berlaku di seluruh dunia,” jelas beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat