KUALA LUMPUR – DAP hari ini mengeluarkan penjelasan berhubung projek LRT3 sebagai respons terhadap titah Sultan Selangor mengenai sejarah pelaksanaan projek berkenaan yang kini dikenali sebagai Laluan LRT Shah Alam.
Menerusi kenyataan bersama, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menegaskan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tidak pernah menghentikan, menggantung atau membiarkan projek LRT3 terbengkalai ketika mentadbir Kerajaan Persekutuan antara 2018 hingga 2020.
Menurut mereka, kerajaan PH sebaliknya meneruskan pembinaan projek itu sambil melaksanakan proses rasionalisasi kos selepas mendapati anggaran keseluruhan projek telah meningkat kepada RM31.65 bilion.
Mereka menjelaskan bahawa hasil semakan bersama perunding kejuruteraan bebas, Jemaah Menteri ketika itu meluluskan pengurangan kos projek kepada RM16.63 bilion, iaitu penjimatan sebanyak RM15.02 bilion.
Antara langkah yang diambil ialah mengurangkan tempahan tren mengikut unjuran penumpang, menangguhkan pembinaan lima stesen yang mempunyai permintaan rendah ketika itu serta menggantikan model Project Delivery Partner (PDP) kepada kontrak harga tetap.
Menurut kenyataan itu, lima stesen yang ditangguhkan kemudiannya dibina semula menerusi kontrak tambahan bernilai RM5.3 bilion bersama beberapa penaiktarafan lain, menjadikan kos keseluruhan projek meningkat kepada RM21.93 bilion.
Bagaimanapun, Lim dan Tony berkata jumlah tersebut masih RM9.72 bilion lebih rendah berbanding anggaran kos RM31.65 bilion sebelum proses rasionalisasi dilaksanakan.
Mereka turut mendakwa pengurangan kos itu dijangka menjimatkan sehingga RM10 bilion lagi dalam pembayaran faedah kerajaan sepanjang tempoh 25 hingga 30 tahun.
Dalam kenyataan sama, kedua-duanya merakamkan penghargaan dan menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Selangor terhadap projek LRT3 serta menegaskan langkah rasionalisasi yang dilaksanakan tidak menjejaskan kapasiti atau fungsi sistem pengangkutan tersebut.


