Tindakan Pegawai Daerah dan Tanah bertentangan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan – Undang Luak Rembau

REMBAU, – Yang Teramat Mulia (YTM) Undang Luak Rembau, Dato’ Sedia Raja Haji Abdul Rahim bin Haji Yasin mendakwa tindakan Pegawai Daerah dan Tanah Rembau mengarahkan pengosongan Kompaun Kediaman Rasmi dan Balai Undang Luak Rembau adalah bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Dalam surat rasmi bertarikh 30 Jun 2026 kepada Pegawai Daerah dan Tanah Rembau, baginda menegaskan bahawa baginda merupakan Penyandang Pusaka YTM Undang Luak Rembau Ke-22 yang sah mengikut adat Luak Rembau, UUTKNS 1959 serta Perlembagaan Persekutuan.

Menurut baginda, pelantikan tersebut telah disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) pada 4 Julai 2025, dan berdasarkan Perkara 16(3) UUTKNS 1959, pengesahan itu adalah muktamad serta tidak boleh dicabar atau dipersoalkan lagi atas apa jua alasan.

“Selaku Penyandang Pusaka YTM Undang Luak Rembau Ke-22 yang sah, Kami adalah layak dan berhak menduduki kompaun yang dirujuk dalam surat saudara sebelum ini,” menurut kandungan surat tersebut.

Sehubungan itu, baginda mengarahkan Pegawai Daerah dan Tanah Rembau memberikan penjelasan dalam tempoh 24 jam daripada tarikh penerimaan surat berhubung asas undang-undang yang digunakan untuk mengeluarkan arahan pengosongan berkenaan.

Baginda turut meminta pihak berkenaan mengemukakan bukti mengenai tiga perkara, iaitu:

•⁠ ⁠Perintah atau arahan penurunan baginda sebagai YTM Undang Luak Rembau;
•⁠ ⁠Keabsahan Haji Hassan bin Haji Ab. Hamid sebagai Undang Luak Rembau Ke-22; dan
•⁠ ⁠Peruntukan undang-undang, aturan atau arahan yang membolehkan Pegawai Daerah dan Tanah mengarahkan pengosongan kediaman rasmi tersebut.

Dalam surat yang sama, baginda memberi amaran bahawa kegagalan mengemukakan penjelasan dan bukti dalam tempoh yang ditetapkan akan menyebabkan tindakan undang-undang diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

Surat tersebut dikeluarkan sebagai maklum balas terhadap surat Pegawai Daerah dan Tanah Rembau bertarikh 29 Jun 2026 yang mengarahkan pengosongan Kompaun Kediaman Rasmi dan Balai Undang Luak Rembau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat