SHAH ALAM – Briar Resources Sdn. Bhd. mengumumkan bahawa syarikat itu telah memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam terhadap bekas pengilang kontraknya, Behn Meyer AgriCare (M) Sdn. Bhd., berhubung beberapa pertikaian yang timbul berkaitan pembuatan dan pembekalan baja MPOB F5 Improved serta pelaksanaan Program Baja Madani.
Menurut Briar Resources, tindakan tersebut diambil bagi melindungi hak pelesenan eksklusif yang diberikan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), menjaga integriti formulasi baja yang dibangunkan oleh MPOB serta memastikan rantaian bekalan Baja Madani kepada pekebun kecil sawit di seluruh negara tidak terjejas.
Syarikat menjelaskan bahawa ia merupakan pemegang lesen eksklusif MPOB bagi formulasi baja MPOB F5 Improved yang dipasarkan sebagai “Improved 5” di bawah jenama Baja Madani, selain formulasi MPOB F5 Premium yang dipasarkan sebagai “Premium 5”. Formulasi, pengetahuan teknikal serta tanda dagangan berkenaan kekal menjadi hak milik MPOB, manakala Briar Resources diberikan hak eksklusif untuk mengeluarkan dan memasarkan produk tersebut mengikut syarat pelesenan yang dipersetujui.
Ketua Pegawai Eksekutif Briar Resources, Wayne Lai, berkata walaupun syarikat sedang melalui proses perundangan, operasi syarikat akan diteruskan seperti biasa dengan tumpuan diberikan kepada kesinambungan bekalan Baja Madani kepada pelanggan, koperasi, pekebun kecil serta rakan strategik.
Beliau berkata pihak syarikat telah melaksanakan pelan kesinambungan perniagaan bagi memastikan bekalan kekal stabil, selain memperketat kawalan kualiti dan pemantauan rantaian bekalan supaya setiap produk yang dipasarkan terus memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh MPOB.
Menurut beliau, Briar Resources akan terus memberi penekanan kepada inovasi, peningkatan kualiti produk serta pembangunan industri pertanian negara, di samping memastikan komunikasi dengan pelanggan dilakukan secara telus bagi mengekalkan keyakinan terhadap jenama Baja Madani.
Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi, Briar Resources mendakwa bekas pengilang kontraknya telah menyekat pengambilan stok Baja MPOB F5 Improved yang telah siap diproses, menahan beg pembungkusan yang menggunakan jenama Briar Resources serta gagal membekalkan stok mengikut peruntukan kontrak yang dipersetujui.

Menurut syarikat, tindakan tersebut telah menjejaskan keupayaannya memenuhi tempahan pelanggan termasuk koperasi pekebun kecil sawit dan pesanan eksport yang telah disahkan. Briar Resources turut mendakwa keadaan itu menyebabkan keseluruhan perancangan, jadual pelaksanaan serta pelan strategik Program Baja Madani yang disusun sejak Jun 2024 tidak dapat dilaksanakan seperti dirancang sehingga mengakibatkan kerugian kewangan, kerosakan reputasi serta kehilangan peluang perniagaan.
Sehubungan itu, syarikat memohon beberapa relif daripada mahkamah termasuk deklarasi mengenai hak eksklusifnya di bawah lesen MPOB, perintah supaya stok dan beg pembungkusan yang didakwa ditahan diserahkan semula kepada syarikat, injunksi bagi melindungi formulasi serta jenama produk, selain tuntutan ganti rugi.
Menurut Briar Resources, hubungan perniagaan dengan pengilang berkenaan telah bermula sejak tahun 2022 menerusi perjanjian pembuatan. Bagaimanapun, syarikat mendakwa berlaku gangguan pembekalan yang menyebabkan bekalan Baja Madani ke pasaran terjejas, sekali gus memberi kesan kepada pelanggan dan pekebun kecil yang bergantung kepada produk tersebut.
Pengerusi Briar Resources, Yang Amat Mulia Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, berkata Program Baja Madani diwujudkan hasil kerjasama dengan MPOB bagi membantu pekebun kecil sawit memperoleh baja berkualiti tinggi yang dibangunkan melalui penyelidikan saintifik selama bertahun-tahun.
Beliau berkata Briar Resources dipertanggungjawabkan sebagai pemegang lesen eksklusif untuk memastikan setiap beg baja yang dipasarkan mempunyai formulasi yang konsisten serta mematuhi standard yang ditetapkan oleh MPOB.
Menurut beliau, Program Baja Madani bukan sekadar inisiatif komersial, sebaliknya diwujudkan bagi membantu pekebun kecil mengurangkan kos input pertanian dan meningkatkan produktiviti tanaman sawit.
Beliau mendakwa maklum balas yang diterima daripada pengguna menunjukkan peningkatan hasil pengeluaran sawit selepas menggunakan Baja Madani, selain membantu mengurangkan kos operasi pekebun kecil.
Menurut Briar Resources, sepanjang tahun 2025 syarikat telah memasarkan kira-kira 500,000 beg Baja Madani dan berdasarkan anggaran syarikat, penggunaan baja tersebut telah menghasilkan penjimatan kos kepada pekebun kecil sehingga kira-kira RM12 juta.
Syarikat turut mendakwa mula mengesan sesuatu yang dianggap luar biasa selepas menerima maklum balas daripada pelanggan mengenai gangguan bekalan Baja Madani. Keadaan itu mendorong Briar Resources melakukan semakan dalaman sebelum mengambil keputusan memfailkan tindakan undang-undang.
Menurut syarikat, bekalan Baja Madani mula terganggu sejak penghujung Februari lalu, menyebabkan pengedaran produk di pasaran tidak dapat dilakukan seperti biasa. Briar Resources berpandangan keadaan tersebut berpotensi menjejaskan produktiviti pekebun kecil kerana bekalan baja merupakan antara komponen penting dalam memastikan hasil tanaman sawit kekal optimum.
Bagi memastikan bekalan dapat diteruskan, Briar Resources memaklumkan bahawa pihaknya sedang mendapatkan sumber bahan mentah sendiri serta menjalinkan kerjasama dengan pengilang baharu supaya pengeluaran Baja Madani dapat diteruskan tanpa gangguan.
Syarikat turut memberi jaminan bahawa walaupun pengilang berubah, formulasi produk akan terus mematuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh MPOB dan proses kawalan kualiti akan diperkukuhkan bagi memastikan mutu produk sentiasa terpelihara.
Briar Resources juga memaklumkan bahawa syarikat menuntut ganti rugi khas berjumlah kira-kira RM1.8 juta selain beberapa relif lain yang dinyatakan dalam pernyataan tuntutan. Walau bagaimanapun, syarikat menegaskan semua dakwaan yang dikemukakan masih tertakluk kepada proses perundangan dan keputusan muktamad hanya akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi berdasarkan keterangan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.
Mengulas lanjut, Tengku Syed Razlan berkata tindakan undang-undang tersebut bukan diambil dengan mudah, sebaliknya bertujuan melindungi harta intelek MPOB yang dilesenkan kepada Briar Resources, mengekalkan keyakinan pekebun kecil terhadap jenama Baja Madani serta memastikan rantaian bekalan baja sawit negara terus telus dan boleh dipercayai.
Beliau berkata keutamaan syarikat ketika ini adalah memastikan bekalan Baja Madani dapat diteruskan demi kepentingan lebih ramai pekebun kecil sawit yang bergantung kepada produk tersebut, sambil menghormati sepenuhnya proses kehakiman yang sedang berlangsung.
Memandangkan perkara itu kini berada di hadapan Mahkamah Tinggi, Briar Resources memaklumkan bahawa syarikat tidak akan mengulas lebih lanjut mengenai merit kes atau mengemukakan bukti secara terbuka dan akan menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk menentukan segala isu yang dipertikaikan.



