KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig pada sidang Parlimen pada Ogos-September ini sebagai langkah penting ke arah membina kerangka perlindungan sosial dan undang-undang yang lebih adil, inklusif dan progresif.
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga berkata, kerajaan juga akan menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) sebagai badan pelaksana utama yang akan menyelaras, memantau dan memacu hala tuju sektor ini secara bersepadu.
“Suruhanjaya ini akan ditempatkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan dasar dan tindakan dapat diselaraskan secara menyeluruh di peringkat nasional.
“Matlamat kita jelas untuk mewujudkan keseimbangan antara kepentingan industri dan kebajikan pekerja gig, sambil menjadikan ekonomi gig sebagai pemacu utama kepada ekonomi digital negara yang lebih adil, responsif dan mampan.
“Insya-Allah, dengan dasar yang progresif dan kerjasama erat semua pihak, Malaysia mampu menjadi peneraju serantau dalam membina ekosistem ekonomi gig yang inklusif, seimbang dan berdaya tahan,” ujar Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu lagi.
Menurut Zahid, ekonomi gig kini menjadi nadi kepada kehidupan lebih 1.12 juta rakyat Malaysia.
“Semalam, saya telah mempengerusikan Sesi Meja Bulat Ekonomi Perkongsian dan Industri Gig yang menghimpunkan lebih 100 peserta, termasuk wakil kementerian, agensi Kerajaan serta lebih 80 platform ekonomi gig dari seluruh negara.
“Malaysia sedang melakar sejarah sebagai negara pertama di dunia yang akan mempunyai undang-undang khusus untuk pekerja gig termasuk sektor penghantaran makanan (p-hailing), pengangkutan (e-hailing), ekonomi digital dan pelbagai bentuk pekerjaan baharu yang muncul dalam landskap ekonomi moden,” katanya.