Bekas Naib Canselor UPSI Dijatuhi Hukuman Penjara 18 Bulan Kes Salah Guna Kuasa

- Advertisement -

IPOH – Bekas Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Zakaria Kasa dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini di atas pertuduhan salah guna kuasa, sembilan tahun lalu.

Hukuman penjara terhadap Zakaria, 66, juga boleh ditambah enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Su Tiang Joo memutuskan demikian sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen untuk melepaskan dan membebaskan tertuduh.

Pada prosiding itu, mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan penangguhan hukuman denda dan ia perlu dijelaskan pada tarikh hukuman itu diputuskan hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu Naib Canselor UPSI telah menggunakan jawatannya berhubung perkara yang beliau mempunyai kepentingan, apabila mengarahkan Mohd. Faizi Othman iaitu pendaftar UPSI untuk memasukkan nama Mohd. Fauzi Zakaria iaitu anak lelakinya untuk dipanggil temuduga pada 12 Sept 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bilik Naib Canselor, Pejabat Naib Canselor, Bangunan Canselor, UPSI, Tanjung Malim pada 24 Jun hingga 12 Sept 2014.

Pertuduhan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala Zakaria diwakili peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud, Shahidah Muslimah Roslan dan Noor Hidayah Mohd. Saad.

Mahkamah Seksyen Ipoh sebelum ini melepaskan dan membebaskan Zakaria daripada pertuduhan salah guna kuasa memasukkan nama anak lelakinya untuk dipanggil temuduga.

Keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kes berkenaan. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat