KUALA LUMPUR – Sempena Program Penghijauan Malaysia menerusi Kempen Penanaman 100 juta pokok, Kelantan berjaya menanam 4.2 juta pokok pada 2021.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kejayaan Kelantan menanam 4.2 juta pokok itu adalah rekod tertinggi yang dicatatkan bagi negeri di Semenanjung Malaysia.
“Tahniah rakyat Kelantan. Jumlah 4.2 juta pokok yang ditanam di Kelantan ini merupakan jumlah ketiga tertinggi di Malaysia selepas Sarawak dan Sabah,” kata Tuan Ibrahim.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri Kelantan mensasarkan sebanyak 15 juta pokok ditanam di seluruh negeri itu sepanjang Rancangan Malaysia ke-12.
Pada Januari 2021, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menanam pokok merbau di perkarangan Seri Perdana, iaitu kediaman rasmi Perdana Menteri bagi memulakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025.
Muhyiddin mengajak rakyat menjayakan agenda penghijauan Malaysia dengan menanam pokok.
“Kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah bersama-sama menjayakan agenda penghijauan Malaysia dengan menanam 100 juta pokok di seluruh negara menjelang tahun 2025,” katanya.