UMNO Perlu Berani Berubah, Pulihkan Keyakinan Rakyat — Wan Rosdy

KUALA LUMPUR,– Naib Presiden UMNO, Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan bahawa UMNO perlu berani melakukan perubahan besar sekiranya mahu kekal relevan menjelang usia 100 tahun.

Berucap sempena Konvensyen 80 Tahun UMNO di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur, beliau berkata parti itu kini berada di persimpangan penting dalam landskap politik yang semakin berubah.

“UMNO hari ini bukan berada dalam zon selesa. Landskap politik telah berubah, generasi pengundi juga berubah. Jika kita masih menggunakan pendekatan lama, kita sebenarnya sedang menempah kegagalan,” katanya.

Menurut beliau, keutamaan utama UMNO ketika ini adalah memulihkan kepercayaan rakyat yang dilihat semakin terhakis akibat pelbagai isu termasuk ekonomi, pendidikan, perpaduan dan agama.

Beliau menegaskan UMNO tidak boleh lagi dilihat sebagai parti yang bergelut dengan konflik dalaman, sebaliknya perlu tampil sebagai sebuah parti yang stabil, matang dan mampu mentadbir dengan baik.

Dalam masa sama, Wan Rosdy turut menekankan kepentingan memperkukuh jentera akar umbi serta menguasai naratif baharu khususnya di media sosial bagi mendekati generasi muda.

“Persepsi hari ini lebih laju daripada fakta. Jika kita gagal menguasai naratif, kita akan terus dipersepsikan oleh lawan,” ujarnya.

Mengulas hala tuju jangka panjang, beliau berkata UMNO perlu menjadi parti masa depan yang membawa idea baharu merangkumi ekonomi, teknologi dan peluang pekerjaan untuk generasi muda, selain melahirkan kepimpinan pelapis.

Katanya, langkah seperti penubuhan Sekolah Patriotik UMNO (SPU) merupakan usaha penting bagi melahirkan pemimpin masa depan parti.

Dalam konteks perpaduan pula, beliau menyokong gagasan “Rumah Bangsa” sebagai platform penyatuan orang Melayu dan Bumiputera, sambil mengingatkan bahawa perpecahan hanya akan melemahkan parti.

“UMNO tidak akan mampu menang jika kita terus berpecah dan saling mencurigai,” katanya.

Beliau turut menjadikan Pahang sebagai contoh pentadbiran UMNO yang stabil dan berprestasi, dengan pertumbuhan ekonomi negeri mengatasi kadar nasional serta berjaya menarik pelaburan tinggi.

Menurutnya, kejayaan tersebut membuktikan keupayaan UMNO mentadbir dengan berkesan dan mampu menjadi model kepada negeri lain.

Dalam pada itu, Wan Rosdy menyatakan sokongan anak muda terhadap UMNO menunjukkan peningkatan dengan lebih 14,000 ahli baharu menyertai parti secara dalam talian, sekali gus memberi isyarat kebangkitan semula parti itu.

Mengakhiri ucapan, beliau menegaskan UMNO perlu beralih daripada retorik kepada strategi yang jelas bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Jika kita terus istiqamah dan berprinsip, UMNO bukan sahaja akan kekal relevan, tetapi akan kembali memimpin masa depan negara dengan lebih kuat dan bermaruah,” katanya.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat