Filem Hantu & Solat

- Advertisement -

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Baru-baru ini penulis melihat, terdapat lambakan filem seram dari negara jiran yang bertemakan keagamaan.

Perkara ini bukan sesuatu yang asing kerana di barat juga tema keagamaan dalam filem-filem hantu/seram dapat dilihat melalui filem seperti The Exorcist (1973), The Conjuring (2013), Rosemary’s Baby dan banyak lagi.

Malah di Malaysia filem-filem seram juga mengambil tema ini untuk diketengahkan sepertimana yang dapat kita lihat dalam filem Munafik 1 & 2 yang dihasilkan pengarah terkemuka dan suami Ira Kazar, Syamsul Yusof.

Menurut JD Gillam seorang pengkritik filem seram untuk portal thisishorror.co.uk penggunaan tema keagamaan ini sering diambil pakai oleh pengkarya untuk dijadikan plot utama ataupun untuk menggerakan plot di dalam sesuatu filem.

Sepertimana dalam filem Dominion (2005) [prekuel kepada filem The Exorcist 1973] ia menceritakan tentang seorang arkeologis/paderi yang telah hilang “imannya” kepada tuhan, namun apabila berhadapan dengan serangan makhluk ghaib (baca Setan atau Demon) telah menemui kembali “iman” yang hilang itu dan mula mempercayai kekuasaan tuhan semula.

Perubahan dalam bentuk kepercayaan ini menjadi plot utama disebalik keseraman yang dipaparkan secara lantang didalam skrin.

Sungguhpun mesej yang dibawa oleh filem-filem seram barat bertemakan keagamaan ini memberikan impak positif terhadap agama yang diketengahkan, ianya tetap mendapat tentangan yang amat kuat daripada pihak gereja.

Selepas filem The Exorcist (1973) ditayangkan, Gereja Katolik Amerika Syarikat melalui Division Perfileman & Penyiaran mereka mengklasifikasikan filem tersebut sebagai A-4, yang membawa maksud, sungguhpun ia membawa mesej yang baik, filem tersebut berupaya untuk mengelirukan masyarakat dan tidak wajar ditonton.

Terkini, Catholic News Agency melaporkan bahawa pihak gereja amat risau akan filem yang berjudul “The Pope’s Exorcist” yang bakal ditayangkan tidak lama lagi yang dibintangi oleh aktor terkenal Hollywood Russel Crowe.

Ini kerana mereka gusar bahawa jika terdapatnya perkara-perkara yang tidak tepat dibawa masuk ke dalam filem tersebut semata-mata untuk menjadi penyedap cerita.

Pada tahun 2019, muncul satu filem yang berjudul Makmum yang diterbitkan oleh K.K. Dheeraj dan diarahkan oleh Hadrah Daeng Ratu dari tanah seberang.

Penulis tidak mahu mengulas panjang berkenaan plot dan jalan cerita filem tersebut, namun impaknya kepada masyarakat Muslim Malaysia adalah membimbangkan.

Selepas beberapa hari filem itu ditayangkan, terdapat banyak posting yang muncul di media sosial yang menyatakan bahawa para penonton takut untuk mengerjakan solat bersendirian pada waktu malam kerana teringat akan “hantu-hantu” yang menganggu orang yang beribadah di dalam filem tersebut.

Perkara ini jelas bertentangan dengan tujuan solat itu sendiri iaitu untuk beribadat kepada Allah S.W.T Yang Maha Esa.

Sewajarnya, seorang muslim yang percaya/beriman kepada kekuasaan Allah S.W.T tidak wajar takut dengan apa jua makhluk, lebih-lebih lagi apabila sedang mengerjakan ibadah.

Namun, akibat filem yang ditonton untuk hiburan semata-mata ini, kita merasa takut kepada makhluk sehingga tidak mengerjakan ibadah wajib atau sunat yang dianjurkan oleh agama kita sendiri.

Perkara ini turut diulas oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di dalam Al-Afkar #75
“…… tidak sepatutnya sebagai orang yang beriman kepada Allah kepada untuk takut kepada hantu. Itu hanya perbuatan jin dan syaitan semata-semata untuk menakut-nakutkan manusia. Pada hakikatnya, mereka sangat takut kepada orang yang beriman.

Oleh kerana para salafussoleh diajar agar tidak takut kepada hantu kerana ia tidak mampu memberikan apa-apa mudarat kepada manusia”

Ulasan penuh Pejabat Mufti WP boleh diakses di sini: https://muftiwp.gov.my/artikel/al-afkar/3979-al-afkar-75-suka-menonton-dan-mendengar-cerita-seram-sehingga-takut-duduk-seorang

Artikel ini bukanlah bermaksud untuk menghalang kreativiti pengkarya untuk menghasilkan naskhah seram untuk tatapan penonton, namun perlu ada satu garisan yang tidak boleh dilangkaui terutamanya apabila melibatkan hal-hal ibadah umat Islam.

Perkara ini serupa dengan sebuah majalah kontot yang pernah wujud suatu ketika dahulu yang sering menceritakan kejadian aneh orang “jahat” ketika mereka mengerjakan haji atau umrah.

Mungkin niat mereka baik, untuk memberi kesedaran supaya tidak berbuat jahat, tetapi impaknya tetap ada, sehinggakan ada yang takut untuk ke Mekah kerana khuatir kesilapan mereka dibayar “cash” di sana.

Penulis merasakan, rakyat Malaysia amnya dan umat Islam khususnya perlu lebih bijak dalam mencari ruang untuk berhibur.

Jangan kita fikir hiburan haram itu tertakluk kepada perkara-perkara yang melalaikan sahaja, tetapi sekiranya hiburan yang kita pilih itu membuatkan kita takut kepada selain daripada Allah S.W.T, maka ianya perlu dijauhkan sama sekali.

Tidak lama lagi dikhabarkan akan muncul lagi filem seram dari seberang yang berjudul Khanzab (2023) yang mana nama “Khanzab” ini diambil dari satu Hadith Rasulullah S.A.W mengenai syaitan yang menganggu ketika solat.

Pada hemat penulis, cukup-cukuplah mengeksploitasi amalan ibadah untuk menjual filem semata-mata sekadar hiburan.

Mungkin juga sudah tiba masanya, para penonton filem di Malaysia dan juga peminat horror yang beragama Islam menolak daripada terus menyokong filem-filem seperti ini yang tidak membawa apa-apa kebaikkan untuk kemajuan diri kita.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat