WASHINGTON,— Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menegaskan negaranya hampir tidak lagi bergantung kepada import minyak melalui Selat Hormuz, sambil menggesa negara-negara lain yang masih menerima bekalan melalui laluan strategik itu supaya mengambil peranan utama dalam melindunginya.
Dalam ucapan kepada negara mengenai operasi ketenteraan Amerika terhadap Iran, Trump berkata Amerika Syarikat hampir tidak lagi mengimport minyak melalui laluan tersebut dan tidak akan mengambil sebarang bekalan daripadanya pada masa hadapan.
“Amerika Syarikat hampir tidak mengimport minyak melalui Selat Hormuz dan tidak akan mengambilnya lagi pada masa hadapan. Kita tidak memerlukannya,” katanya.
Trump berkata negaranya kini berada dalam kedudukan kukuh dari segi tenaga hasil peningkatan pengeluaran minyak dan gas domestik di bawah dasar pentadbirannya.
Menurut beliau, Amerika kini merupakan pengeluar minyak dan gas nombor satu dunia, selain menerima tambahan bekalan besar dari Venezuela melalui kerjasama yang menurutnya berjalan dengan sangat baik.
Beliau turut mendakwa Amerika menghasilkan lebih banyak minyak dan gas berbanding gabungan Saudi Arabia dan Russia.
Dalam masa sama, Trump menggesa negara-negara lain yang masih bergantung kepada laluan minyak di Selat Hormuz supaya mengambil tanggungjawab utama menjaga keselamatan laluan berkenaan.
Katanya, negara-negara yang menerima minyak melalui selat tersebut perlu “menjaga dan menghargainya”, sambil menegaskan bahawa mereka boleh melakukannya dengan mudah.
“Kita akan membantu, tetapi mereka perlu memimpin dalam melindungi minyak yang sangat mereka perlukan,” katanya.
Trump turut berkata apabila konflik berakhir, laluan tersebut akan kembali dibuka secara semula jadi kerana Iran memerlukan hasil minyak untuk membina semula negara mereka.
Beliau berkata aliran minyak akan kembali pulih dan harga bahan api dijangka turun dengan pantas selepas itu.
Menurut Trump, Amerika tidak lagi memerlukan minyak dari Timur Tengah, namun masih berada di rantau itu bagi membantu sekutu-sekutunya.



