KUALA LUMPUR, — Parti BERJASA menafikan dakwaan bahawa parti itu sedang atau bakal diambil alih oleh tokoh politik, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, susulan laporan media berhubung masa depan politik bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.
Dalam satu kenyataan media hari ini, BERJASA menegaskan dakwaan berhubung pengambilalihan parti tersebut adalah “tidak benar sama sekali” dan parti kekal utuh di bawah kepimpinan sedia ada.
Ketua Penerangannya, Mohd Hamdan Mohd Sharif, berkata parti itu terus dipimpin oleh Majlis Kepimpinan Tertinggi yang dipilih dan dilantik secara sah mengikut Perlembagaan Parti.
“BERJASA menegaskan bahawa dakwaan berhubung pengambilalihan parti adalah tidak benar sama sekali. Parti ini kekal utuh di bawah kepimpinan Majlis Kepimpinan Tertinggi yang dipilih dan dilantik secara sah menurut Perlembagaan Parti,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan beberapa laporan media arus perdana hari ini yang mengaitkan kemungkinan parti tersebut menjadi platform politik baharu kepada Hamzah selepas pengumuman pemecatannya daripada Bersatu.
Pada masa sama, BERJASA menjelaskan keahlian parti adalah terbuka kepada mana-mana individu atau pihak yang mahu bersama dalam perjuangan parti, tertakluk kepada proses serta prosedur yang ditetapkan.
Menurut kenyataan itu, sebarang permohonan untuk menyertai parti mesti melalui saluran rasmi selaras dengan Perlembagaan Parti dan rangka perjuangan yang digariskan menerusi Impian Nasional BERJASA 2040.
“Parti BERJASA bersifat terbuka kepada mana-mana individu dan pihak yang ingin bersama di dalam perjuangan parti demi mendaulatkan negara serta mengangkat martabat anak bangsa.
“Walau bagaimanapun, sebarang permohonan hendaklah melalui proses dan prosedur keahlian yang ditetapkan menurut Perlembagaan Parti,” menurut kenyataan itu lagi.
BERJASA turut memaklumkan bahawa setakat ini tiada sebarang perbincangan rasmi atau pertemuan khusus diadakan berhubung perkara tersebut.
Namun, parti itu menegaskan sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak demi memperkukuh agenda kesatuan dan penyatuan Melayu.
Selain menafikan dakwaan pengambilalihan, BERJASA menegaskan fokus utama parti kekal kepada agenda perjuangan nasional yang merangkumi pengukuhan perpaduan dan identiti nasional, reformasi politik dan kepimpinan negara, pemerkasaan ekonomi rakyat, pembangunan pendidikan dan modal insan, serta penguasaan sains, teknologi dan kedaulatan digital negara.
“BERJASA akan terus komited terhadap sasaran dan agenda penyatuan Melayu serta perjuangan nasional.
“BERJASA kekal teguh dengan prinsip, perjuangan dan hala tuju yang telah digariskan demi masa depan negara yang lebih unggul, berdaulat dan bermaruah,” kata kenyataan itu.



