CYBERJAYA – Seorang anggota tentera dilaporkan koma manakala enam lagi cedera selepas dipercayai dipukul dalam satu kejadian di Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Bentong, pada Isnin.
Kejadian tersebut turut mencetuskan perhatian apabila satu rakaman video dipercayai berkaitan insiden berkenaan tular di media sosial.
Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa salah seorang mangsa pada jam 8.45 pagi, Selasa.
Beliau memaklumkan kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 8 malam di dalam kawasan kem berkenaan.
“Siasatan awal mendapati seorang suspek yang merupakan anggota tentera berpangkat koperal dipercayai terlibat dengan perbuatan memukul, menumbuk serta menendang mangsa di beberapa bahagian badan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, kesemua mangsa berusia antara 19 hingga 22 tahun merupakan anggota tentera dan bukannya pelatih seperti yang tular sebelum ini.
Dalam kejadian itu, seorang mangsa berusia 24 tahun dilaporkan parah dan kini masih tidak sedarkan diri serta sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Mangsa tersebut dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan, manakala mangsa lain pula telah dirujuk ke Hospital Bentong untuk pemeriksaan lanjut.
Susulan kejadian, polis menahan suspek berusia 37 tahun pada jam 2.30 petang, Selasa bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan suspek telah direman selama empat hari bermula 1 hingga 4 April.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, sementara pihak polis meneruskan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.



