Sebuah jenama baru dalam segmen mewah, NAFAZ, secara rasmi dilancarkan dengan misi besar untuk mentransformasikan cara perkahwinan dan pengalaman eksklusif direka di Malaysia. Namun di sebalik pelancaran yang tampak seperti satu lagi kemasukan pemain industri, NAFAZ sebenarnya membawa pendekatan yang jauh berbeza bukan sekadar menganjurkan acara, tetapi membuka akses kepada dunia yang sebelum ini sukar dicapai orang awam.
Diasaskan oleh Aishah Radhiah Adanan, NAFAZ bermula bukan sebagai perancang majlis biasa, tetapi sebagai pengendali pengalaman untuk delegasi antarabangsa, khususnya dari Arab Saudi. Melalui pengalaman tersebut, mereka berjaya membina rangkaian dan akses kepada lokasi-lokasi berprofil tinggi yang jarang dibuka kepada umum. Selepas beberapa tahun beroperasi di belakang tabir, tahun ini menjadi titik penting apabila NAFAZ akhirnya memperoleh kebenaran rasmi untuk membawa pengalaman tersebut kepada pasaran tempatan.

Antara tawaran paling mencuri perhatian adalah peluang untuk menganjurkan acara di lokasi ikonik negara seperti KLCC Skybridge. Buat pertama kali, orang awam boleh mengadakan majlis perkahwinan atau acara peribadi di ruang tersebut dengan akses eksklusif ke laluan VIP, termasuk bahagian atas yang tidak dibuka kepada pengunjung biasa. Pengalaman ini turut diperkaya dengan elemen unik seperti bumbung lutsinar serta sudut pandangan yang memberikan perspektif luar biasa kepada tetamu.
Menurut Aishah, pendekatan ini lahir daripada kesedaran bahawa kebanyakan rakyat Malaysia sendiri tidak pernah menikmati pengalaman di lokasi ikonik negara. “Kalau kita tanya, mungkin hanya satu peratus sahaja yang pernah berada di Skybridge, sedangkan ia adalah satu simbol yang patut dibanggakan,” jelasnya. Justeru, NAFAZ melihat potensi untuk mengangkat semula nilai lokasi-lokasi ini sebagai sebahagian daripada pengalaman eksklusif yang boleh dinikmati secara lebih meluas.
Berbeza dengan syarikat perancang majlis konvensional, NAFAZ tidak menawarkan pakej tetap. Setiap acara direka sepenuhnya mengikut kehendak pelanggan, bermula daripada konsep, bajet hingga ke naratif keseluruhan majlis. Walaupun terdapat anggaran minimum perbelanjaan sekitar RM40,000 untuk acara tertentu, fleksibiliti tetap menjadi keutamaan, termasuk untuk pengalaman berskala kecil seperti makan malam romantik untuk dua orang.

Apa yang membezakan NAFAZ adalah penekanan terhadap elemen penceritaan. Setiap majlis bukan sahaja dirancang dari sudut visual dan logistik, tetapi dibina sebagai sebuah naratif lengkap. Dengan sokongan NAFAZ Studio dan NAFAZ Creative, pelanggan bukan sahaja mendapat sebuah acara, tetapi juga dokumentasi sinematik yang merakam perjalanan sebelum dan semasa majlis berlangsung. Pendekatan ini menjadikan setiap pengalaman lebih bermakna dan memberi impak yang berpanjangan.
Pelancaran NAFAZ turut memperkenalkan ekosistem pelbagai divisyen yang merangkumi NAFAZ Majlis, NAFAZ Experience, NAFAZ Studio, NAFAZ Creative dan NAFAZ Sirah. Setiap divisyen memainkan peranan tersendiri dalam membina pengalaman yang menyeluruh, daripada penganjuran majlis berskala besar hingga kepada pengalaman peribadi seperti pelayaran yacht, penerbangan bersama jurulatih, serta perjalanan spiritual ke Arab Saudi.
Dalam konteks pengalaman antarabangsa, NAFAZ juga mempunyai akses untuk membawa pelanggan ke lokasi eksklusif seperti Universiti Islam Madinah bagi program pembelajaran ringkas bahasa Arab, selain pengalaman ke Menara Jam di Mekah yang jarang ditawarkan kepada orang awam. Semua ini mencerminkan fokus jenama tersebut dalam menyediakan pengalaman “once in a lifetime” yang sukar ditandingi.
Lebih jauh daripada itu, NAFAZ turut meletakkan sasaran jangka panjang untuk membangunkan sebuah platform digital yang berfungsi seperti Agoda atau Booking.com, tetapi khusus untuk ruang acara. Platform ini dijangka menghimpunkan pelbagai lokasi acara, perkhidmatan kreatif dan vendor dalam satu sistem yang memudahkan pengguna merancang majlis secara menyeluruh. Walaupun masih dalam peringkat pembangunan, visi ini menunjukkan bahawa NAFAZ tidak sekadar mahu menjadi pemain industri, tetapi juga pemacu perubahan.

Dalam masa sama, jenama ini turut melihat peluang untuk menghidupkan semula permintaan terhadap ruang acara tradisional seperti ballroom hotel yang semakin kurang mendapat perhatian. Melalui pendekatan kurasi dan penjenamaan semula, NAFAZ percaya ruang-ruang ini masih mempunyai potensi besar untuk dijadikan lokasi acara berprestij.
Walaupun dilihat sebagai jenama berfokus kepada segmen mewah, Aishah menegaskan bahawa NAFAZ tidak mahu mengehadkan pengalaman hanya kepada golongan elit. Sebaliknya, mereka mahu membuka peluang kepada lebih ramai individu untuk merasai pengalaman eksklusif, selagi ia boleh disesuaikan dengan bajet dan keperluan pelanggan. Namun, dalam masa yang sama, standard kualiti dan eksklusiviti tetap menjadi keutamaan utama.
Dengan pendekatan yang menggabungkan akses, kreativiti dan penceritaan, NAFAZ dilihat bukan sekadar memperkenalkan satu jenama baharu, tetapi mencabar definisi kemewahan dalam industri tempatan. Dalam era di mana pengalaman dan identiti menjadi semakin penting, NAFAZ muncul sebagai simbol perubahan membawa industri perkahwinan dan gaya hidup Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi.



