Ringgit ditutup rendah susulan pengukuhan dolar AS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa apabila dolar semakin mengukuh dan didagangkan pada paras tertinggi dalam beberapa bulan susulan data ekonomi semalam menunjukkan inflasi Amerika Syarikat (AS) meningkat lebih tinggi, kata penganalisis.

Beliau berkata, keadaan itu menghentikan jangkaan pengurangan kadar faedah pada Jun.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.7515/7535 berbanding dolar AS daripada 4.7285/7325 ketika ditutup pada Isnin.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit rendah sejajar dengan pergerakan keseluruhan di pasaran pertukaran mata wang asing Asia dan ruang G-10 berikutan data pembuatan ISM yang lebih baik di AS, yang menyokong perbezaan kadar faedah dolar kepada tahap paling menggalakkan tahun ini.

“Walau bagaimanapun, berita buruk bagi ringgit datang daripada komponen harga yang dibayar, yang meningkat kepada 55.8 daripada 52.5, menimbulkan kebimbangan mengenai inflasi yang tidak berubah.,

“Perkembangan ini mengurangkan kemungkinan penurunan kadar Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Jun daripada 70 peratus kepada 55 peratus, yang menunjukkan kecenderungan meningkat bagi dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, kebimbangan mengenai inflasi yang berterusan telah ditambah oleh gangguan rantaian bekalan sedia ada, termasuk yang berlaku di Laut Merah dan penutupan Pelabuhan Baltimore baru-baru ini, serta kenaikan harga minyak secara beransur-ansur.

Walaupun harga minyak mentah meningkat, mata wang komoditi seperti ringgit tidak mengalami kesan ketara kerana dolar AS mengukuh, dan memandangkan AS ialah antara pengeluar minyak terbesar di dunia, harga minyak mentah yang lebih tinggi juga memberi manfaat kepada dolar, katanya.

“Semakin mencabar untuk menjangkakan sebarang kecenderungan meningkat yang baharu daripada kebanyakan pegawai Fed yang dijadualkan minggu ini memandangkan kekukuhan data ekonomi AS baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata justeru, sebarang potensi penurunan dolar AS berkemungkinan didorong oleh data ekonomi akan datang.

Pada penutupan dagangan, ringgit juga diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Unit domestik susut berbanding euro kepada 5.1036/1057 daripada 5.1002/1045 ketika ditutup pada Isnin, ringgit lemah berbanding pound British kepada 5.9717/9742 daripada 5.9674/9729.

Mata wang tempatan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.1326/1339 daripada 3.1232/1260.

Ringgit didagangkan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5134/5151 daripada 3.5054/5087 ketika ditutup pada Isnin dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 298.9/299.1 daripada 297.4/297.8.

Ringgit rendah berbanding peso Filipina kepada 8.43/8.44 daripada 8.40/8.41 semalam namun meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9659/12.9771 daripada 12.9793/12.9949. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat