Kami Bukan Pemecah Undi, Rakyat Dah Tolak DAP & PH – Shafie

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak melihat tindakan mereka menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai pemecah undi DAP kerana parti terbabit sebenarnya sudah tidak lagi diterima masyarakat.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, penolakan masyarakat termasuk dalam komuniti Cina boleh dilihat apabila DAP tewas dalam PRN Sarawak dan PRN Melaka, tahun lalu.

Sehubungan itu katanya, tidak timbul dakwaan kehadiran Warisan dalam PRN Johor hanya untuk memecah undi masyarakat Cina khususnya penyokong DAP.

“Sejak bila Johor ini dimiliki oleh DAP, pengundi di Johor ini bukan milik mana-mana parti, mereka bukan milik UMNO, bukan milik DAP, bukan milik PKR. Jika kita kata mereka miliki sesiapa itu bukan satu bentuk yang demokratik.

“Kita (Warisan) tidak ganggu Pakatan Harapan (PH) ketika dalam PRN Melaka dan Sarawak lalu, mereka tewas juga, maksudnya Warisan bukan penyebab pecah undi sehingga mereka tewas.

“Di dua negeri itu, kita beri laluan kepada PH untuk bertanding tetapi nampaknya masyarakat telah menolak mereka, itu petanda jelas dalam PRN Johor ini untuk kita bertanding sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program walkabout di Pasar Malam Taman Johor Jaya, di sini.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa kehadiran Warisan dalam PRN Johor hanya bertujuan untuk mengganggu dan memecah undi masyarakat Cina dan bukan bertujuan untuk melakar kemenangan.

Guan Eng berkata, perkara itu boleh dilihat apabila parti berasal dari Sabah itu hanya meletakkan calon di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja di mana tindakan itu tidak akan mengubah struktur pentadbiran kerajaan negeri akan datang.

Mengulas lanjut perkara itu, Mohd. Shafie menolak jumlah enam kerusi yang ditandingi pihaknya itu tidak akan membawa sebarang makna sebaliknya mereka mampu menjadi blok pembangkang yang efektif dalam memastikan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

“Dengan enam kerusi ini, kita mahu menjadi suara pembangkang yang kuat untuk melakukan proses semak dan imbang di negeri ini. Sama seperti di Parlimen di mana kita hanya mempunyai lapan kerusi, jumlah sedikit tidak bermakna kita tiada suara.

“Ikut hati boleh sahaja kita bertanding di kesemua 56 kerusi, tetapi apa maknanya kerana kita masih sebuah parti baharu di semenanjung. Itu sebabnya kita bertanding di enam kerusi yang kita rasakan mempunyai ruang dan peluang untuk menang,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan langkah terlibat dalam PRN Johor adalah pengenalan buat parti itu kepada masyarakat semenanjung bahawa mereka kini mempunyai satu pilihan alternatif baharu yang berjuang untuk semua kaum dan agama.

“Ahli dan penyokong kita bukan sahaja terdiri daripada masyarakat Cina dan penyokong DAP, sebaliknya ramai mereka sebelum ini merupakan penyokong kuat kepada MCA dan UMNO, tetapi kini semua bersatu di bawah Warisan,” tambahnya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat