Berkawan Dengan Kleptokrat, Kluster Mahkamah Ibarat Tunggang Harimau, Akhirnya Dibaham – Tun M

MUAR – Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengingatkan pengundi Johor tentang bahana bekerjasama dengan kleptokrat dan kluster mahkamah.

Beliau memberitahu pernah mengingatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang bahaya menantinya apabila memilih bersama puak kleptokrat namun tidak diendahkannya kerana mengejar jawatan Perdana Menteri.

“Saya telah ingatkan bahawa bekerjasama dengan kleptokrat dan kluster mahkamah UMNO seumpama menunggang harimau dan dia akan akhirnya dibaham.

“Apa yang kita jangka sudah terjadi. Tan Sri Muhyiddin dikhianati oleh UMNO, hilang jawatan Perdana Menteri dalam tempoh 17 bulan sahaja.

“Inilah hasil dari mengutamakan politik dan bukan prinsip,” katanya dalam suratnya kepada pengundi Johor pada Rabu.

Sebelum ini, saya telah terangkan mengapa saya terus mengkritik Datuk Seri Najib Razak walaupun saya merasa amat malu menyebut namanya,” ujar Mahathir.

“Tetapi kerana dia terus cuba menutup kesalahannya mencuri harta rakyat dan berusaha mengguna politik untuk sucikan dirinya, saya tiada jalan lain selain terus mengingatkan rakyat mengenai jenayah yang telah dilakukan olehnya.

“Sebenarnya, kita semua, termasuk pengundi Johor telah berjaya menyekat Najib dari terus menyamun harta rakyat apabila dia, UMNO dan Barisan Nasional (BN) ditolak dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Kejayaan ini memperlihat ramai pengundi Johor tidak dapat menerima UMNO yang menyokong seorang penyamun. lanya lebih bermakna di Johor kerana terdapat kuasa-kuasa bukan politik yang cuba mempengaruhi rakyat untuk mempertahan Najib dan UMNO,” tegas Pengerusi Pejuang itu lagi.

Malangnya kejayaan itu terbantut apabila Presiden Bersatu, Muhyiddin yang mahu menjadi Perdana Menteri, sanggup membelakangkan pengundi dan rakan di dalam Pakatan Harapan (PH) untuk mencapai cita-citanya.

“Ketika Langkah Sheraton diambil, saya bertanya adakah dia sanggup ketepi prinsip dan bekerjasama dengan kleptokrat dan kluster mahkamah UMNO.

“Tan Sri Muhyiddin berkata prinsip tidak penting, yang penting ialah politik.

“Kerana mengejar nafsu untuk jadi Perdana Menteri, saya dan beberapa rakan yang berpegang kepada prinsip dan menolak kerjasama dengan UMNO telah disingkir.

“Setelah itu saya dan rakan-rakan menubuhkan Parti Pejuang kerana Bersatu pimpinan Muhyiddin sudah tidak lagi pegang dan pertahan perjuangan Bersatu.

” Kami percaya Muhyiddin akan dikhianati oleh puak kleptokrat,” ujar Mahathir.

Jelas beliau, kleptokrat sekarang berkuasa menukar kerajaan sesuka hati mereka.

“Nasib rakyat tidak dihirau oleh mereka. Agak terlewat bagi Muhyiddin melawan UMNO. Terpulanglah kepada parti lain menolak
kleptokrat.

“Pejuang tolak UMNO, kerana tidak ingin kleptokrat kembali memerintah. Semua pihak yang tolak kleptokrasi jika sokong Pejuang akan berjaya memulihkan kerajaan yang utama kepentingan rakyat. Negeri Johor akan selamat,” katanya.