KUALA LUMPUR -Lembaga Pengampunan sudah membuat keputusan berhubung permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk mendapatkan pengampunan selepas disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 12 tahun pada 2022.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagaimanapun menjelaskan kerajaan tidak akan membuat sebarang pengumuman mengenai keputusan itu, sebaliknya ia bakal dilakukan sendiri oleh Lembaga Pengampunan.
“(Itu) urusan Lembaga Pengampunan, tunggu… sudah ada kepastian (keputusannya).
“Tunggu pengumuman Lembaga Pengampunan,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas makan tengah hari di Gerai Makan Pertama Complex, lapor BH pada Jumaat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, semalam memaklumkan Lembaga Pengampunan dijangka membuat pengumuman rasmi berhubung permohonan Najib itu, minggu ini.