MAINJ Bakal Wartakan Fatwa Larangan Orang Islam Terbabit Ritual Keagamaan Bukan Islam

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri bakal mewartakan Fatwa Orang Islam Hadir Ke Upacara Ritual Perayaan Penganut Agama Bukan Islam dalam masa terdekat, bagi membolehkan umat Islam di negeri ini mempunyai garis panduan sebelum menyertai sesuatu majlis perayaan agama bukan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, fatwa yang sudah diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), minggu hadapan, bagi mendapatkan kelulusan sebelum diwartakan.

Beliau berkata, garis panduan yang dimaksudkan itu difatwakan selepas melihat kebiasaan yang dilakukan umat Islam apabila tibanya sesuatu perayaan bukan Islam dan ia bertujuan bagi memberi pendidikan serta kesedaran supaya sesuatu larangan itu tidak terus diamalkan secara berleluasa.

“Melalui pemerhatian kita dan selain mendapat makluman daripada orang awam, seperti sudah menjadi kebiasaan dalam mana-mana perayaan penganut agama bukan Islam yang dihadiri atau turut diraikan umat Islam.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk membuat satu ketetapan daripada kebiasaan itu lebih berleluasa dan ini sebagai usaha kita untuk meningkatkan kefahaman tentang agama Islam,” katanya ketika sidang media di Pusat Islam Iskandar di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa merangkap Setiausaha Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor, Baharin Jalal.

Menurut beliau, umat Islam dibenarkan untuk memenuhi undangan majlis keraian sesuatu perayaan bukan Islam, namun adalah dilarang untuk terbabit dengan sebarang upacara ritual yang berkait dengan amalan agama terbabit.

“Menurut sebilangan ulama, hukum meraikan undangan ke majlis perayaan bukan Islam adalah harus dan dibenarkan, contohnya majlis rumah terbuka atau majlis makan malam dan seumpamanya.

“Dalam konteks berkenaan, penganjur majlis perayaan bukan Islam haruslah peka dan memastikan sensitiviti umat Islam dihormati selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan agama rasmi Johor.

“Namun demikian, masyarakat Islam adalah diharamkan dan dilarang daripada menyertai upacara ritual perayaan bukan Islam, ini termasuklah di rumah ibadat agama berkenaan atau di tempat-tempat lain,” jelasnya.

Menurut Mohd Fared, terdapat empat perkara dalam garis panduan berkenaan yang mana menyatakan majlis dihadiri umat Islam itu tidak disertakan dengan upacara yang bertentangan dengan akidah Islam, bertentangan dengan syarak, bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya serta menyentuh sensitiviti umat Islam.

Antara contoh, katanya, termasuklah meletakkan tanda berciri agama di dahi atau anggota tubuh lain, memberi ucapan atau isyarat berbentuk pujian kepada agama bukan Islam, memakai pakaian melambangkan agama bukan Islam, percampuran tanpa batas; berpakaian menjolok mata serta membuat ucapan yang berbentuk dakyah atau menghina agama Islam.

Bagi menyampaikan maksud garis panduan yang perlu dipatuhi umat Islam itu, Mohd Fared berkata, pihaknya juga akan turut mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua keagamaan serta pengurus rumah ibadat bukan Islam.

“Langkah ini bukan bermaksud menjarakkan keharmonian kaum dan agama, sebaliknya panduan ini adalah untuk semua pihak berhati-hati supaya umat Islam tidak terjerumus kepada perbuatan yang melanggar syarak tanpa disedari.

“Semua pemimpin agama termasuk bukan Islam khususnya yang menjadi penganjur sesuatu majlis perlu menerima perkara ini dan diharapkan langkah ini bukan sahaja dapat mengukuhkan keharmonian beragama di Johor, tetapi juga memastikan akidah umat Islam terpelihara,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Fared berkata, selepas fatwa berkenaan diwartakan, individu yang melanggar garis panduan berkenaan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997. – Hmetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat