PRN Johor: BN Akan Bertanding Secara Solo – Zahid Hamidi

- Advertisement -

BAGAN DATUK: Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pendekatan sama seperti dalam PRN Melaka sebelum ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini berikutan trend sokongan yang telah kembali semula kepada BN.

“BN iaitu UMNO, MCA dan MIC akan memperkasakan gerak kerja dan jentera parti di mana dari 56 kerusi yang ditandingi, BN akan meletak calon-calon di seluruh 56 kerusi DUN di Johor.

“Strategi BN bertanding dengan mengambil kira bahawa trend sokongan telah datang semula kepada BN.

“Untuk itu, sebagai mana yang berlaku berlaku dalam PRN Melaka, acuan yang sama kita akan gunakan dalam PRN Johor,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi kediaman rakan karibnya, Beh Song Wan sempena Tahun Baharu Cina di Hutan Melintang di sini hari ini.

Mengenai perundingan untuk kerjasama dengan Pas dalam PRN Johor, Ahmad Zahid berkata, perbincangan telah diadakan di antara Pengerusi BN Johor dan Pesuruhjaya Pas negeri itu.

Namun, setakat ini hasil perbincangan belum dimaklumkan kepada beliau.

“Saya merasakan Johor adalah medan untuk menguji sejauh mana BN diterima semula oleh pengundi Johor dan ia adalah medan ujian untuk melihat tahap sokongan pengundi-pengundi pertama kali terutamanya pengundi 18 tahun dan pengundi yang didaftarkan secara automatik.

“UMNO akan berusaha bersungguh-sungguh walaupun keputusan yang diambil UMNO untuk bertanding secara solo,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, BN harus dominan semula di Johor kerana parti itu dilahirkan di Istana Besar Johor Bahru.

Menurutnya, perkara itu akan menjadi asas yang akan digunakan parti itu dalam PRN Johor.

“Dalam PRU-14, kita tidak dapat kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri oleh kerana kedudukan kerusi cuma memihak kepada pemimpin UMNO yang menjadi Menteri Besar hanya 28 kerusi berbanding pihak lain, maka kestabilan politik Johor terlalu rapuh.

“Untuk itu, dalam PRN ini, dominan BN harus diraih semula maka kita menyusun strategi agar BN bertanding (di semua DUN) dengan mengambil kira trend sokongan telah datang semula kepada BN,” katanya.

– UTUSAN ONLINE

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat