Kerajaan wajar bertanggungjawab perjelas kewujudan titah diraja Najib – peguam kanan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan bertanggungjawab menjelaskan sama ada wujud titah diraja yang dikatakan membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki tempoh penjara sebagai tahanan rumah.

Peguam Kanan Baljit Singh Sidhu berkata, pendedahan penuh tentang kewujudan titah itu penting untuk mengekalkan kepercayaan orang ramai dan memastikan wujudnya akauntabiliti, dan beliau menggesa perkara itu ditangani dengan segera dan telus.

“Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang mesti dipertahankan pada setiap masa. Kerajaan mesti mengambil pendekatan tegas dan proaktif dalam isu ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Baljit berkata, Jabatan Peguam Negara dan jabatan hal ehwal undang-undang kementerian berkaitan mesti memainkan peranan aktif dalam memberikan kejelasan dan memastikan akauntabiliti.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong semasa, Sultan Ibrahim, dan penyandang Peguam Negara Datuk Dusuki Mokhtar, tidak seharusnya terbeban jika perkara itu sudah diputuskan.

“Ia tanggungjawab pihak-pihak yang berkaitan pada masa keputusan itu dibuat untuk memberikan penjelasan yang diperlukan dan menyelesaikan isu ini dengan integriti untuk melindungi kredibiliti institusi kita dan prinsip keadilan,” tambahnya.

Baljit berkata, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa besar kepada Agong untuk mengurniakan pengampunan, penangguhan atau penggantungan hukuman.

Peguam itu mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara minggu lepas atas arahan Sultan Ibrahim.

Menurut kenyataan itu, semua permohonan pengampunan berhubung kesalahan yang dilakukan di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mesti dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Awal minggu ini, bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman mempertahankan kenyataan Jabatan Peguam Negara itu dengan berkata, ia bertujuan mengelakkan perkara seperti itu dicabar di mahkamah.

Abu Talib, yang berkhidmat sebagai peguam negara antara 1980 dan 1993, berkata baginda berhak mendesak agar semua petisyen pengampunan di tiga wilayah persekutuan itu diserahkan kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Kenyataan Jabatan Peguam Negara itu dikeluarkan di tengah-tengah spekulasi berterusan mengenai titah yang dikatakan dikeluarkan oleh Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sejurus sebelum penggal lima tahunnya sebagai Agong berakhir setahun lepas.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat