KUALA LUMPUR: Penderitaan dan kesukaran yang dilalui penyanyi bersuara lunak, Zamani Ibrahim, 52, akibat penyakit skoliosis atau tulang belakang melengkung selama bertahun-tahun berakhir selepas menjalani pembedahan, November lalu.
Tubuhnya yang suatu ketika dahulu membongkok kini tegak semula, namun perubahan itu nyata membuatkan vokalis kumpulan Slam itu ‘ibarat mati hidup semula’.
Zamani berkata, kejayaan pembedahan itu menghadiahkan semangat baharu buat dirinya.
“Saya bersyukur atas kejayaan pembedahan ini. Orang ramai juga tumpang gembira melihat bentuk badan saya tidak lagi melengkung.
“Buat masa ini, saya masih belajar menyesuaikan diri. Tak dinafikan, saya berdepan masalah menjalani rutin harian selepas pembedahan, maklumlah hidup dalam bentuk tubuh melengkung selama bertahun-tahun.
“Rasa sakit masih ada dan saya tidak boleh tunduk ataupun duduk dengan selesa. Pergerakan memang agak terbatas.
“Bagaimanapun, saya tidak dapat pastikan sampai bila keadaan ini, tetapi saya masih meneruskan rawatan susulan seperti fisioterapi,” katanya kepada BH Online.
Walaupun hampir dua bulan menjalani pembedahan, Zamani mendedahkan, kesan sampingan akibat pembedahan tetap ada.
“Selain sesekali kesakitan menyerang, saya juga mengalami bengkak pada bahagian kaki sebelah kiri.
“Keadaan ini sudah berlarutan sejak lebih seminggu. Saya sudah mendapatkan penjelasan doktor mengenai keadaan ini kerana saya bimbang menyebabkan penyakit lain seperti jantung atau buah pinggang.
“Bagaimanapun, doktor mengesahkan saya bebas daripada penyakit lain. Bengkak kaki itu disebabkan kesan sampingan pembedahan,” ujar penyanyi Gerimis Mengundang ini.
Tambah Zamani, kesan pembedahan itu turut menjejaskan nyanyiannya.
“Kesan sampingan ini memberi kesan kepada vokal. Saya bukan sahaja menghadapi kesukaran menyampaikan lagu bernada tinggi, malah membabitkan nada rendah juga.
“Mujur peminat memahami keadaan saya dan tidak langsung mempersoalkannya. Cuma, saya tidak mahu menjadikan masalah ini sebagai alasan,” katanya ketika ditemui pada Konsert Lagenda Malam Tahun Baharu 2023 di Datum Jelatek, ibu negara, kelmarin.

Selain Zamani, penyanyi Datuk Hattan, Fredo, Alina Hassan dan Farazila AJ turut terbabit dalam persembahan di ambang tahun baharu itu.
Mengulas isu kononnya dilihat sengaja mengundang risiko apabila aktif mengadakan persembahan selepas pembedahan, Zamani menafikannya tidak mendapat cukup rehat seperti dakwaan sesetengah pihak.
“Doktor ada menyarankan saya jangan banyak berehat. Sesekali, saya kena bergerak dan perlu melakukan rawatan fisioterapi.
“Cuma, saya tidaklah memaksa diri jika tak boleh. Sebelum ini, saya berehat dalam jangka masa agak lama bila rasa tidak selesa selepas mengadakan persembahan.
“Persembahan malam ini pun saya buat selepas sekian lama berehat. Itupun, saya tidak boleh lasak sangat.
“Buat masa ini, saya tidak menerima undangan persembahan di lokasi berjauhan. Saya tidak larat duduk dalam kereta lama-lama,” ungkap penyanyi bervokal mantap ini.
Zamani turut meluahkan keterujaan dapat mengadakan persembahan di lokasi cukup dekat di hatinya.
“Saya seronok dapat mengadakan persembahan di ‘kampung’ sendiri dan dapat melihat wajah-wajah yang dikenali.
“Bayangkan, 30 tahun menjadi anak seni, saya belum pernah mengadakan persembahan di Datum Jelatek.
“Sebelum menjadi pusat beli-belah, lokasi ini cukup dekat di hati. Saya masih ingat persekitarannya iaitu ada rumah pangsa, stesen minyak dan bas,” katanya yang bakal merakamkan single baharu hasil ciptaan Tam Spider, tidak lama lagi.
Berita harian